SEPANG - Pemenang pingat gangsa Olimpik, Pandelela Rinong kelihatan begitu penat tetapi terharu dengan sambutan paling meriah buat kali pertama dalam kariernya oleh kira-kira 300 peminat yang menunggunya sejak pukul 7 pagi lagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam semata-mata mahu mengucapkan tahniah kepadanya.
Pandelela, 19, yang merasai perasaan selaku 'bintang popular' apabila orang ramai tidak henti-henti mahu bergambar bersamanya.
Ketibaan Pandelela disambut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalannya, Gan Ping Sieu.
Namun tiada apa yang lebih menggembirakan apabila Pandelela dikejutkan dengan kemunculan bapa dan
ibunya, Pamg Joheng dan Hartini Lamim yang diterbangkan khas oleh Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) untuk menyambut anak kesayangan mereka.
Pandelela dan skuad akuatik tiba di tanah air bersama ketua kontinjen Tun Ahmad Sarji dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong.
Atlet lain yang kembali ke tanah air termasuk Yeoh Ken Nee, Bryan Nickson Lomas, Leong Mun Yee, Huang Qiang, Cheong Jun Hoong, Traisy Vivien Tukiet, Wendy Ng Yan Yee dan perenang tunggal, Khoo Cai Lin.
Pandelela mahu topik terjun lenyap dari fikirannya untuk dua minggu berikutnya, tempoh dia dibenarkan ketua jurulatih Yang Zhuliang untuk bercuti.
"Jurulatih beri saya cuti dua minggu," katanya penuh teruja.
Ditanya perancangannya sepanjang bercuti, katanya: "Saya ada pelbagai rancangan termasuk dengan kawan-kawan tetapi terlebih dahulu semestinya bersama sekeluarga. Tempatnya adalah rahsia," katanya.
Biarpun sudah mengukir nama dalam sejarah negara apabila meraih gangsa pada Sukan Olimpik London yang menutup tirai kelmarin, namun ratu terjun negara itu tetap tidak mahu mendabik dada sebaliknya selesa dengan sikap merendah diri.
Pandelela turut berharap perwatakan asalnya tidak berubah pada masa akan datang sebaliknya kekal positif dan cemerlang dalam kariernya.
"Saya ucapkan terima kasih buat semua yang terlibat dan menyokong termasuk keluarga saya yang tidak putus-putus memberikan semangat kepada saya.
"Pengalaman paling bermakna diperolehi pada penyertaan Olimpik London adalah dapat memberikan saingan kepada jaguh-jaguh terjun dunia.
"Perwatakan saya tidak akan berubah sungguhpun telah meraih kejayaan sebegini kerana saya lebih selesa dengan sikap merendah diri dan saya harap perwatakan tersebut akan terus kekal," katanya.
Oleh TAN MING WAI dan ZAZALI JAMIAN
No comments:
Post a Comment
Sebarang Komen Yang Tidak Sesuai Akan Dipadam!!!