Friday, August 31, 2012

Diseksa Kerana Haus

Meskipun sudah hampir 56 tahun kisah ini berlalu, namun bagi Azizan Darus, 87, pengalaman melihat seorang lelaki pertengahan umur diseksa tentera Jepun di Kampung Pantai Cicar, pada tahun 1942 masih terpahat kukuh dalam ingatannya.

Betapa tidak, pengalaman itu dianggap paling ngeri sepanjang ‘tempoh penyeksaan’ sewaktu pendudukan tentera Jepun di negara ini.

“Sampai saat ini masih terngiang-ngiang raungan kawan-kawan yang kena seksa. Tapi apa boleh buat, kekejaman tentera Jepun pada masa itu seperti tiada batas. Saya hanya mampu menahan sebak sambil berdoa supaya Allah hentikan kekejaman itu,” katanya.

Tambah Azizan, dia bersama ramai penduduk termasuk dari beberapa kampung berhampiran dikerah membina sebuah landasan kapal terbang sepanjang satu kilometer untuk digunakan tentera Jepun.

“Berbekalkan alat-alat yang pada fikiran saya langsung tak padan, cangkul dan baji mata dua, kami dikerah memugal tanah keras kemudian mengangkut batu-batu besar untuk ditanam semula ke dalam tanah sebagai lapik awal sebelum ditambun batu-batu kecil.




“Kerja seperti itu memang perit. Kami langsung tak dibenarkan berhenti rehat sebelum sampai waktunya. Kalau sesiapa yang langgar arahan itu, alamat nak kenalah,’ujarnya.

Bagaimanapun kata Azizan, peristiwa seorang lelaki pertengahan umur diseksa dengan begitu dahsyat hanya kerana dia minta untuk minum air adalah paling menyayat hati berlaku di depan matanya.

“Kerana terlalu haus, lelaki itu minta berhenti sekejap kepada seorang tentera Jepun yang sedang berbual untuk minum air. tambahan pula ketika itu cuaca sangat panas.

“Tahu apa balasannya? Lelaki itu dihentak dengan buntut senapang dan diheret ke tepi. Dalam keadaan itu pun dia masih cuba melutut minta belas kasihan kepada tentera Jepun itu tapi langsung tidak diendahkan.

“Lelaki itu kemudiannya diikat kaki dan tangannya dalam keadaan menelentang lalu mulutnya disumbat dengan getah paip lalu dimasukkan air hingga perutnya buncit.

Tak cukup dengan itu, tentera Jepun tadi disertai beberapa rakannya memijak perut lelaki itu lalu bersemburlah air keluar dari telinga, mulut, hidung dan duburnya,” ujarnya.

Tambah Azizan, hingga ke hari ini dia tidak dapat melupakan peristiwa tersebut dan ia kadangkala terbawa-bawa dalam tidurnya.

psssttt : fikir-fikirkan lah...

No comments:

Post a Comment

Sebarang Komen Yang Tidak Sesuai Akan Dipadam!!!