Friday, August 10, 2012

Melayu Dan Alam Misteri


Saya ingin menganjurkan satu hipotesis bahawa peradaban alam Melayu yang dikatakan tradisional dari sudut sains mempunyai kekuatan epistemologi (asas ilmu), ontologi (pengalaman dalam bentuk realiti sosial) dan metodologinya sendiri untuk menguasai alam misteri dan imaginasi berkenaan.

Dalam kata lain, untuk memahami misteri dan imaginasi yang dikatakan oleh Stephen Hawkins tidak dapat dikuasai oleh sains itu, ia memerlukan bukan ilmu sains tetapi satu bentuk ilmu lain. Ilmu inilah yang ada dalam peradaban Melayu. Bukan satu bentuk ilmu yang tradisional, rendah dan primitif tetapi suatu ilmu yang memerlukan ketajaman dan kebijaksanaan yang cukup rumit untuk menguasai serta memahami.

Kalau sains dan teknologi, melalui penciptaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah berjaya mencipta apa yang dikatakan sebagai dunia maya, yang ternyata hanya dibina melalui nombor-nombor dan teknologi satelit. Peradaban alam Melayu sudah pun memiliki prototaip kepada dunia maya ini, yang kita kenal sebagai `dunia ghaib'. Ghaib yang tidak menggunakan nombor dan satelit tetapi menggunakan pelbagai makhluk yang kita kenal sebagai jin, hantu dan beberapa yang lain.

Menarik sekali untuk dikaji dengan lebih mendalam pertemuan dan pertembungan antara dunia maya dengan dunia ghaib ini kerana ia merupakan pertembungan dua epistemologi, atau dua tunjang dan asas ilmu, yang penjelmaan ontologinya tidak berbeza.

Maksudnya, kalau dunia maya tidak dapat dilihat dan dibuktikan kecuali di kaca komputer, begitu juga dunia ghaib hanya dapat dibuktikan melalui semangkuk air, seiris limau, seperasapan kemenyan, sehelai kain hitam, kuning atau merah dan pelbagai lagi peralatan perubatan peribumi yang masih diguna dan diperlukan oleh sekian ramai anggota kelas menengah Melayu baru di Malaysia sehingga ke saat ini.



Tidaklah memeranjatkan bahawa mereka yang terdidik dalam ilmu sains Barat/Eropah melihat yang misteri dan imaginasi ini sebagai suatu ilmu alternatif.

Malah di Australia, misalnya, dalam bidang perubatan telah wujud School of Alternative Medicine (Sekolah Perubatan Alternatif) yang dikatakan menggabungkan ilmu Timur dan Barat. Ramai doktor perubatan moden di Australia menggabungkan kedua-dua jenis epistemologi perubatan ini, yang saintifik dan yang dikategorikan sebagai perubatan alternatif dalam sebuah klinik. Bahkan ini memang sudah lama berlaku di India.

Apakah alasan utama yang membolehkan ini berlaku di Australia dan tidak berlaku di Malaysia. Ia rata-rata bersifat ekonomi politik.

Maksudnya, para doktor moden di Malaysia melihat bidang perubatan itu adalah hak kepunyaan mereka yang dilegitimasikan oleh undang-undang. Sesiapa yang mempraktikkan sebarang bentuk perubatan mesti ada lesen dan mesti ada kelayakan yang diperakukan lengkap dengan sijil dan sebagainya.

Maka diharamkan sesiapa saja yang lain membuka klinik yang mengamalkan perubatan alternatif. Kerana itulah bomoh dan dukun kita mempraktikkan sendiri-sendiri, senyap-senyap di anjung rumah masing-masing. Ada yang digelar sebagai ilmu hitam dan sebagainya.

Satu usaha yang lebih positif mesti dilakukan untuk membongkar tradisi yang berpangkalan dalam peradaban alam Melayu ini. Tetapi apa yang selalu berlaku adalah tradisi ini sering dimomok dan dikeji dan dipraktikkan secara sembunyi-sembunyi.

Kita memomoknya dengan menggunakan sudut pandangan dan epistemologi sains dan teknologi moden. Kita enggan melihat kekuatan dan peri positifnya tradisi peradaban alam Melayu ini dari sudut epistemologi dalaman peradaban kita ini, yang dikategorikan oleh peradaban Eropah/Barat sebagai alternatif tadi.

Apakah oleh kerana berlakunya pelbagai hal yang dianggap keji dan kejam akibat perdukunan dan perbomohan maka keseluruhan sistem yang mendukungnya itu tercemuh?



Saya berpendapat bahawa alam misteri dalam budaya di alam Melayu itu suatu misteri dan imaginasi yang cukup luar biasa kekuatannya. Bukan sesuatu yang bersifat antitesis kepada sains dan teknologi atau pembangunan ekonomi negara. Malah terdapat hubungan saling melengkapi antara kedua-duanya, cuma kita memerlukan kedua-dua pihak yang pakar dalam bidang ini yang bermastautin di alam Melayu untuk menganjurkan pertemuan dan perbincangan serius, bukan melakukannya dengan menyorok-nyorok sehingga menambahkan misteri dan imaginasi yang bukan-bukan mengenai suatu warisan terpenting peradaban alam Melayu.

Yang diperlukan adalah keterbukaan dan tolak ansur bukan syak wasangka dan buruk sangka. Alam misteri dan imaginasi peradaban Melayu di alam Melayu mempunyai komponen yang cukup positif. Aspek dan komponen ini yang patut kita ketengahkan. Tentunya persepsi popular mengenai alam misteri dan imaginasi ini dalam ruang pemikiran dan pembacaan popular di Malaysia, misalnya, tidak menggalakkan dan rata-rata negatif kesannya.

Alam misteri dalam budaya Melayu itu adalah suatu alam yang kaya, yang mempunyai asas ilmu tersendiri dan kukuh, yang didukung oleh satu realiti dan konteks sosialnya yang unik, serta kaya dengan metodologinya tersendiri. Cuma kita perlu mensistemkannya untuk boleh diterima pakai oleh semua manusia di alam Melayu dan di luar wilayah budaya ini.

- PROFESOR DATUK DR. SHAMSUL AMRI BAHARUDDIN ialah Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Rencana ini adalah petikan kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Alam Misteri dalam Budaya anjuran Jabatan Muzium dan Antikuiti baru-baru ini.

Sumber : http://www.utusan.com.my/
psssttt : hehehehe...

No comments:

Post a Comment

Sebarang Komen Yang Tidak Sesuai Akan Dipadam!!!