Tuesday, August 28, 2012

Mangsa Ilmu Hitam?

KUALA TERENGGANU: Alahan makanan atau mangsa ilmu hitam?

Itu persoalan yang bermain di fikiran peminat bola sepak Terengganu selepas penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee diserang penyakit gatal seluruh badan secara tiba-tiba ketika beraksi dalam perlawanan Kumpulan B Piala Malaysia menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu lalu.

Sharbinee yang terpaksa dikejarkan ke Hospital Selayang selepas pitam seketika di padang pada separuh masa kedua dikatakan mengalami alahan makanan atau ubat walaupun penjaga gol berusia 25 tahun terbabit mengaku yang dia tidak alah langsung kepada sebarang makanan termasuk udang yang dimakannya sebelum perlawanan.
Dia yang dihubungi semalam mengakui masih samar dengan apa yang berlaku tetapi tidak mahu berfikir terlalu jauh termasuk kemungkinan menjadi mangsa ilmu hitam.

“Saya juga tertanya-tanya apa yang berlaku sebenarnya ketika diserang kegatalan amat sangat walaupun diberitahu oleh doktor yang merawat bahawa itu cuma reaksi alahan daripada makanan atau ubatan yang saya ambil.

“Saya tidak mahu memikirkan soal sama ada saya dikhianati dengan ilmu hitam kerana ketika ini saya sudah hampir pulih sepenuhnya dan bersedia untuk diturunkan pada perlawanan Piala Malaysia menentang Kedah esok (hari ini),” katanya.
Jurulatih Terengganu, Peter Butler berkata, dia belum membuat keputusan sama ada menurunkan Sharbinee dalam kesebelasan utama di Alor Setar, esok.

“Saya juga hairan dengan kejadian menimpa Sharbinee kerana sepanjang pembabitan saya sebagai pemain dan jurulatih di dalam dan luar negara, belum pernah saya melihat seorang pemain terpaksa dikeluarkan daripada permainan kerana mengalami masalah alahan makanan,” katanya.
Pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh pula berkata, apa yang penting Sharbinee dapat dirawat segera dan kini hampir pulih sepenuhnya.

“Tidak ada gunanya sekiranya kami menyangka ada perbuatan khianat dalam kejadian itu kerana segalanya sudah selesai dan kami hanya ingin menumpukan perhatian kepada perlawanan akan datang,” katanya.

Sementara itu, bekas pemain Terengganu dan Singapura pada 1950-an, Yaacob Salleh berkata, kejadian yang berlaku ke atas Sharbinee akan cepat dikaitkan dengan ilmu hitam jika berlaku di eranya.

“Penggunaan bomoh pada masa dulu memang sudah diketahui ramai namun sekarang di zaman serba moden ini, ramai yang sudah tidak percaya dengan bomoh lagi.

“Tetapi itu tidak bererti bahawa bomoh dan ilmu hitam sudah tidak digunakan lagi sekarang kerana selagi manusia bernama manusia dan rasa tidak puas hati tidak hilang di hati mereka, selagi itulah khidmat bomoh-membomoh ini tidak akan hilang,” katanya.

Seorang lagi bekas pemain negeri yang enggan dikenali berkata, sehingga kini masih ada pasukan bola sepak menggunakan khidmat bomoh untuk mendapatkan kelebihan buat mereka dalam perlawanan.

“Saya sendiri pernah melihat bomoh yang digunakan oleh satu pasukan bola sepak berjalan mengelilingi padang dan berada dalam pintu gol beberapa jam sebelum perlawanan bermula,” katanya.

-Sumber-

No comments:

Post a Comment

Sebarang Komen Yang Tidak Sesuai Akan Dipadam!!!