Monday, August 27, 2012

MMS jadi petunjuk

DUNGUN: Peta lokasi dan gambar keindahan air terjun Jeram Berdebu, Pasir Raja memberi petunjuk kepada polis sebelum pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui mayat wartawan sambilan sebuah syarikat pengiklanan, di sini, kelmarin.

Mayat Nian Hoi Chun, 50, ditemui dalam keadaan berbogel dengan bahagian paha, perut dan kemaluannya dimakan binatang selepas ditemui pasukan mencari dan menyelamat kira-kira jam 9.45 pagi.

Sebelum itu, mangsa yang berasal dari Jalan Angsoka Setapak, Kuala Lumpur dikatakan datang ke kawasan Air Terjun Cemerung, Pasir Raja, di sini dan tidur di situ dengan memasang khemah sejak 17 Ogos lalu.

Mangsa dikatakan meninggalkan khemahnya untuk ke kawasan Air Terjun Jeram Berdebu di Kuala Jengal sejauh 30 kilometer dengan memandu kenderaan pacuan empat roda Kia Sportage miliknya.

Sebaik tiba di Kuala Jengal, mangsa meneruskan lagi perjalanan melalui kawasan berbatu sejauh 30 kilometer lagi sebelum meninggalkan beg mengandungi wang tunai RM100 serta dokumen pengenalan diri di dalam kenderaannya. Mangsa kemudian meredah jalan berbukit selama tiga jam sebelum tiba di kawasan air terjun berkenaan.

Mayat mangsa ditemui dalam jarak satu jam perjalanan ke kawasan air terjun itu dan dipercayai dalam perjalanan pulang ke kawasan khemahnya.

Rakan mangsa, Lim Siang Hui, 32, berkata, ketika tiba di kawasan air terjun berkenaan, mangsa ada menghantar sekeping gambar keindahan air terjun di situ yang didakwanya paling cantik dalam banyak kawasan air terjun yang dilawati kira-kira jam 10.30 pagi.

“Saya terima khidmat pesanan multimedia (MMS) dan peta laluan ke kawasan air terjun yang tidak pernah diketahui orang ramai itu dan dia berjanji akan membawa saya serta beberapa rakan lain ke situ suatu masa nanti,” katanya.

Lim berkata, kira-kira jam 4.30 petang, dia ada menghubungi telefon bimbit mendiang tetapi gagal dihubungi kerana mungkin di kawasan itu tiada talian.

“Selepas beberapa hari gagal menghubunginya, saya yang mengesyaki sesuatu berbincang dengan beberapa rakan sebelum mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Seksyen 8, Subang Jaya pada 23 Ogos,” katanya.

Katanya, keesokan harinya, dia serta beberapa rakan yang lain datang ke tempat kejadian dan menemui khemah tempat tinggal mangsa namun dia tiada di situ.

“Ketika itu baru saya teringat mengenai peta lokasi kawasan air terjun yang dikirimkan mangsa sebelum pasukan polis serta beberapa agensi yang lain melancarkan gerakan mencari di kawasan itu,” katanya.

Lim berkata, dia mengesyaki mayat yang sudah berbau dan hampir reput itu adalah rakannya berdasarkan keadaan saiz bahu serta badannya yang besar kerana ketika itu keadaan mayat sudah membengkak.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak polis, Jabatan Perhutanan Daerah Dungun, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung yang sanggup bersusah payah melancarkan gerakan mencari sebelum menemui mayat rakan saya itu,” katanya.

Sumber :  Rosli Ilham

No comments:

Post a Comment

Sebarang Komen Yang Tidak Sesuai Akan Dipadam!!!