Umat Islam tak digalak berkawan dengan makhluk ghaib kerana tidak diketahui beriman atau kafir.Di sebalik dunia nyata yang kita
tempuhi, ada kehidupan sama seperti manusia tetapi terselindung dan
tidak dapat disingkap pancaindera biasa.
Penduduk alam ghaib itu dikatakan memiliki budaya setempat seperti
bermain kompang dan berzanji, memiliki wajah dan fizikal seperti
manusia.
Penghuni dunia itu juga hidup
bermasyarakat, mendirikan rumah dan penempatan sama seperti kita malah
dikatakan turut menunaikan haji dengan menaiki kenderaan sama seperti
manusia.
“Apa yang membezakan orang
bunian dengan manusia ialah jika berpakaian, semuanya mesti satu warna.
Dari baju ke seluar sama warna,” kata Pengasas Pusat Rawatan Islam
Manarah di Kuang, Selangor; Dr Jahid Sidik.
Dr Jahid yang juga bekas
pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya berkata, selain
warna pakaian; berdasarkan pengalaman dan kes yang dirujuk kepadanya,
semua aktiviti bunian sama seperti manusia.
“Cuma manusia tidak nampak
mereka. Dalam al-Quran juga menyatakan manusia tidak dapat melihat
makhluk ghaib seperti syaitan, jin dan bunian kerana mereka tidak
memiliki jasad. Manusia memiliki empat unsur iaitu air, api, tanah dan
angin tetapi bunian menyamai jin hanya memiliki unsur api dan angin
(menyebabkan mereka tidak berjasad),” katanya.
Beliau yang berpengalaman hampir
15 tahun dalam perubatan Islam berkata, sehingga kini ada dua teori
dikemukakan mengenai kewujudan dan asal usul orang bunian.“Mengikut cerita orang lama
termasuk guru saya, asal bunian ialah apabila manusia berkahwin dengan
jin. Sememangnya dalam kitab fekah ada perbincangan mengenai perkahwinan
antara manusia dan jin.
“Berdasarkan pengalaman yang
dirujuk kepada saya, membuktikan perkahwinan antara jin dan manusia
memang berlaku dalam kehidupan ini,” katanya yang turut menjelaskan
bahawa perkahwinan itu menyebabkan bunian memiliki rupa dan budaya
seperti manusia tetapi memiliki unsur api dan angin menyamai jin.
Satu teori lain mengenai
kewujudan bunian adalah mereka pada asalnya manusia alim dan soleh, taat
kepada perintah Allah tetapi akibat sebab tertentu, mereka terlalai dan
melakukan kejahatan.
“Akibat malu berhadapan dengan
manusia, mereka berdoa kepada Allah supaya kewujudan mereka tidak
dilihat manusia. Ada versi mengatakan kejadian ini berlaku pada zaman
Sahabat tetapi ada yang mengatakan ia berlaku sebelum zaman Rasulullah
serta pada zaman Nabi-Nabi terdahulu,” katanya.
Beliau berkata, manusia biasa
tidak dapat melihat bunian atau jin tetapi keadaan itu boleh berlaku
dalam beberapa keadaan tertentu, dengan izin Allah. Antaranya apabila
ada jin atau bunian yang menumpang dalam badannya tanpa disedari
individu itu.
“Ada orang berkata, bayi dapat
melihat bunian atau jin kerana mereka masih suci. Itu tidak benar,
sebenarnya bayi dapat melihat perkara ghaib itu kerana bunian atau jin
menumpang di badannya.
“Ada satu kes seorang bapa
mendakwa anak kecilnya istimewa (psikik) kerana dapat melihat benda
ghaib. Selepas dibawa kepada saya, didapati dalam badannya ada jin dan
selepas makhluk itu dikeluarkan, anak kecil itu kembali normal,”
katanya.
Selain itu, manusia mampu melihat bunian jika makhluk itu menzahirkan
jasadnya dan kebiasaannya kemampuan bunian menunjukkan fizikalnya
berlaku apabila bunian itu mempelajari ilmu tertentu. Sebaliknya manusia
juga boleh melihat bunian jika mereka mempelajari ilmu tertentu.
Dr Jahid menceritakan beberapa kes bunian yang dirujuk kepadanya sepanjang terbabit dalam bidang perubatan Islam itu.
“Satu kes di Kota Tinggi, Johor.
Dua pemuda masuk ke hutan mencari rotan tetapi seorang daripada mereka
hilang ketika hari hampir malam.
“Operasi mencari dijalankan
tetapi lelaki itu tetap tidak dijumpai sehinggakan ahli keluarga dan
penduduk kampung menganggap pemuda itu sudah meninggal dunia akibat
dibaham binatang buas. Masa berlalu dan kehilangan pemuda itu semakin
kurang dibualkan penduduk dan ahli keluarga.
“Tiba-tiba, kira-kira lebih
setahun selepas kehilangannya, pemuda itu kembali ke rumah keluarganya
dan membawa bersama seorang anak dan isteri,” katanya.
Pemuda itu menceritakan, pada
hari kehilangannya, dia tersesat dalam hutan dan apabila menjelang
malam, ketika mencari jalan keluar, dia terjumpa sebuah rumah.
Selepas berehat semalaman,
pemuda itu meminta izin pulang tetapi disuruh pemilik rumah tinggal
bersama mereka dan berkahwin dengan anak perempuannya.
Selepas setahun, lelaki itu
diizinkan menjenguk keluarganya di alam manusia tetapi selepas itu, dia
diberi pilihan oleh mentuanya sama ada ingin terus berada di alam bunian
atau bersama manusia. Lelaki itu memilih kekal bersama anak dan
isterinya di alam bunian.
Kes kedua diceritakan Dr Jahid
berlaku pada tahun-tahun terakhir jemaah haji menggunakan kapal laut
sebagai pengangkutan. Dalam sebuah kabin, ditempatkan tiga lelaki dan
selepas berkawan, mereka bertukar alamat apabila ingin berpisah.
“Apabila pulang, seorang dari
mereka yang tinggal di Kedah mengambil keputusan melawat kenalannya di
Muar, Johor. Sebaik sampai di Muar, dia menunjukkan alamat kepada
pemandu teksi yang berasa pelik kerana tiada kampung di kawasan itu.
“Apabila sampai, didapati memang
tiada penempatan di situ, selepas berjalan masuk ke dalam sedikit, baru
dia menjumpai kampung dan rumah kenalannya. Tetapi selepas beberapa
ketika berada di tangga rumah kenalan itu, dia ditolak seorang pemuda
dan sebaik terjatuh, dia melihat rumah dan kampung ghaib sebaliknya
digantikan dengan semak belukar,” katanya.
Kes ketiga lebih menyedihkan.
Seorang gadis meminta pertolongan Dr Jahid untuk memisahkannya daripada
suaminya lelaki bunian. Beberapa tahun sebelum perkahwinan mereka,
lelaki itu mendatangi gadis itu dan mengugut supaya mengahwininya atau
gadis itu akan mengalami sakit misteri.
Gadis itu enggan menyebabkan dia
diserang penyakit misteri selama dua tahun. Akibat tidak tahan
menanggung kesakitan sehingga menyebabkannya lumpuh, gadis itu bersetuju
berkahwin dengan lelaki bunian berkenaan.
Bantuan yang diminta daripada Dr
Jahid bagaimanapun dibatalkan gadis itu dipercayai selepas diugut suami
buniannya dan sehingga kini, tidak diketahui nasib wanita itu.
FAKTA
- Bunian tidak ditakrif dalam al-Quran tetapi keajaiban Allah sama seperti kejadian manusia kembar.
- Manusia yang bersahabat atau berkawan dengan bunian, menjatuhkan martabat mereka sebagai khalifah Allah.
- Tidak seperti jin yang boleh
terbang dan memiliki kemampuan lain, Bunian hidup seperti manusia dengan
berjalan kaki, bercucuk tanam cuma bezanya mereka tidak dilihat manusia
walaupun hidup di alam yang sama.
- Bunian boleh menyakiti manusia
secara ghaib tetapi bagi bunian yang mempelajari ilmu tertentu, mereka
boleh menyakiti manusia secara fizikal.
- Rawatan digunakan Dr Jahid untuk merawat gangguan jin atau bunian adalah kaedah ketukan.
- Tanda-tanda seseorang diganggu
bunian atau jin adalah berkelakuan pelik seperti melihat benda ghaib,
berat badan kekal tetapi apabila diangkat terasa berat selain kesan aneh
pada tubuh badan.
- Manusia tidak digalakkan berkawan dengan bunian kerana sukar diketahui sama ada bunian itu benar-benar beriman atau kafir.
- Kaedah menjauhkan gangguan
bunian atau jin adalah dengan menjaga ibadat wajib dengan sempurna
selain memperbanyakkan ibadat sunat serta solat hajat, solat taubat dan
berdoa.
No comments:
Post a Comment
Sebarang Komen Yang Tidak Sesuai Akan Dipadam!!!