Pada tahun 1980,
Angelina Narcisse sedang membeli barang di l'Estere, Haiti apabila satu
suara membisikkan ke dalam telinganya nama timangan abangnya, Clairvius,
yang mati pada 2 Mei 1962 akibat demam teruk, dan dikebumikan pada hari
seterusnya di tanah perkuburan di utara l'Estere.
Nama timangan ini
sepatutnya hanya diketahui oleh ahli keluarga terdekat dan tidak pernah
digunakan lagi sejak zaman kanak-kanak mereka, oleh itu Angelina berasa
sangat terkejut. Tetapi dia lebih terperanjat apabila dia berpaling ke
belakang - dan melihat Clairvius sendiri!
Selepas pulih dari kejutannya,
Angelina dapat mengesahkan bahawa lelaki itu adalah sebenar-benarnya
Clairvius, abangnya yang dikatakan sudah mati.
Ini disahkan juga oleh
anggota keluarga dan lain-lain penduduk l'Estere setelah Clairvius mampu
menjawab banyak soalan dan menceritakan kembali tentang kehidupannya
dahulu di kalangan mereka.
Clairvius menjadi terkenal serta-merta
apabila dia mendedahkan bahawa dia telah menjadi seorang zombie. Lebih
penting lagi, dia dapat menceritakan bagaimana ia berlaku, dan
kehidupannya sebagai mayat hidup.
Hollywood memaparkan gambaran
stereotaip zombie yang dikenali manusia seluruh dunia, orang yang telah
mati yang dibangkitkan dari kuburnya untuk menjadi hamba kepada tuannya.
Kepercayaan terhadap zombie begitu meluas di kawasan di mana voodoo
mempunyai pengaruh kuat, salah-satunya di Haiti, sebuah negara kecil Carribbean. Apabila seseorang itu meninggal dunia, kaum keluarganya akan
melakukan apa saja untuk meletakkan batu-batu berat di atas kubur supaya
mayat tidak dicuri oleh bokor - bomoh voodoo.
Seorang bokor akan
memberikan bahan campuran khusus, dipercayai dadah-dadah tertentu,
kepada seorang zombie supaya zombie itu kekal sebagai hambanya.
Zombie boleh makan, bernafas dan
bergerak, tetapi mereka tidak mampu berfikir sendiri dan mengenang
kembali apa-apa tentang diri mereka atau keadaan hidup mereka di waktu
silam. Terdapat banyak kes zombifikasi yang disahkan, diselidiki oleh
ramai pengkaji terkemuka di dunia Barat, dan kes Clairvius hanyalah satu
daripadanya.
Wade Davis, seorang ahli biologi
Amerika yang pernah bersama Harvard Botanical Museum telah menjalankan
kajian untuk mengenal pasti identiti bahan-bahan yang digunakan dalam
proses zombifikasi. Dia yakin bahawa beberapa komponen tertentu
memainkan peranan terbesar.
Satu daripadanya adalah tetrodotoxin, satu
racun saraf yang mengakibatkan lumpuh seluruh badan secara pantas,
sering diperolehi dari ikan buntal. Seorang bokor yang mahu menukar
mangsanya kepada zombie akan memberikan mangsa itu bahan ini,
menyebabkan tanda-tanda demam yang seterusnya mengakibatkan keadaan
terpukau seolah-olah sudah mati.
Dalam keadaan ini, mangsa itu
sedar sepenuhnya tetapi lumpuh. Kulitnya sepucat mayat sementara
denyutan jantungnya hampir tidak dapat dikesan. Walaupun diperiksa oleh
doktor, mangsa itu dengan pantas akan diisytiharkan telah mati.
Jelaslah
ini adalah apa yang berlaku ke atas Clairvius, di mana dia dipercayai
telah mati akibat demam.Yang kedua adalah sejenis cecair yang
mengandungi hallucinogen, suatu pelali kuat yang dirembeskan oleh
kelenjar pada kulit katak beracun Bufo marinus.
Manakala untuk membangkitkan
semula mangsa yang telah "mati" itu, datura yang diperolehi dari apa
yang digelar "timun zombie" (Datura stramonium, juga dikenali sebagai
thorn apple dan rumput jimson) digunakan.
Datura menyebabkan khayalan,
kekeliruan mental, disorientasi, amnesia (hilang ingatan) dan keadaan
separuh sedar yang sukar ditembusi, kesemuanya ciri-ciri biasa zombie.
Datura perlu diberikan kepada zombie terus-menerus supaya dia kekal
sebagai zombie.
Namun, biarpun zombie itu tidak lagi
menerima datura, mereka jarang memperolehi semula keadaan mental seperti
biasa. Jika dibiarkan di dalam keranda buat satu tempoh masa secukupnya
sebelum dikeluarkan, mangsa itu akan mengalami kekurangan oksigen dan
mengakibatkan kerosakan otak yang tidak boleh dirawat.
Dalam kes Clairvius, dia
mengatakan doktor/dukun/bomohrnya telah mati dan tiada siapa yang
memberikannya dadah, oleh itu bekalannya langsung terhenti. Dia mampu
kembali ke keadaan sebenarnya mungkin kerana tidak dibiarkan secukup
lama di dalam kerandanya untuk mengakibatkan kerosakan otak.
-Tamat-
No comments:
Post a Comment
Sebarang Komen Yang Tidak Sesuai Akan Dipadam!!!