Friday, September 21, 2012

Misteri Piramid Di China

Sekadar Hiasan
 
Siapa kata bangunan raksasa berbentuk kon yang biasa dipanggil sebagai piramid hanya terdapat di Mesir?? Selama puluhan tahun, terdapat sebuah legenda, yang beredar di dunia barat bahawa di sebuah lokasi terpencil di China, terdapat banyak piramid misteri yang ia bahkan lebih besar berbanding piramid yang terdapat di Mesir. Benarkah lagenda tersebut??

Selama puluhan tahun, kerajaan China dan para arkeologinya telah menafikan kewujudan piramid-piramid ini, dan penafian ini membuatkan dunia barat semakin tertarik untuk menyelidikinya.

Apakah benar ada piramid di China? Apakah yang sesungguhnya tersimpan di dalam piramid-piramid ini? Mengapa kerajaan China menyangkal kewujudannya? Namun, pada masa kini, melalui space imaging dan google earth, kita mampu untuk mengetahui jikalau piramid-piramid di China ini benar-benar wujud, bahkan kuantitinya berjumlah sehingga 100 buah. Piramid-piramid ini terletak di daerah Xaanshi di kota kuno Xian.

The Great White Pyramid

Pada tahun 1983, Bruce Cathie iaitu seorang penulis mengakui kerajaan China telahpun mendedahkan kepadanya bahawa piramid-piramid itu sebenarnya benar-benar wujud. Namun tidaklah ada kemisteriannya kerana piramid-piramid itu hanyalah kubur para maharaja mereka.

Di dalam bukunya yang berjudul The Bridge to Infinity (1983), Cathie menceritakan asal usul piramid China ini mulai dikenali di dunia barat. Semuanya bermula daripada pengalaman seorang juruterbang tentera udara Amerika yang bernama James Gaussman.

Ketika itu pada tahun 1945, Gaussman sedang terbang di antara India dan China dalam misi rutinnya. Namun ketika engin pesawatnya mengalami sedikit masalah, ia harus merendahkan ketinggian kapal terbangnya. Pada saat itulah ia telah terlihat sebuah piramid raksasa China yang misteri.

Dalam laporannya, ia mengatakan:

"Aku menerbangkan pesawat mengitari sebuah gunung dan kemudian aku masuk ke sebuah lembah. Tepat dibawah kami, terlihat sebuah piramid putih raksasa yang seakan-akan muncul dari negeri dongengan. Piramid itu putih gemerlapan. Mungkin diperbuat daripada logam atau bebatuan jenis tertentu. Seluruh sisinya berwarna putih. Namun yang paling menarik adalah terdapat sebuah batu di puncak piramid tersebut - sebuah material berharga seperti mutiara. Aku benar-benar takjub dengan kedashyatan bangunan itu."

Pada ketika itu, boleh dikatakan bahawa simbol kewujudan piramid hanyalah identiti bagi negara Mesir. Jadi, seharusnya laporan Gausmann boleh menarik perhatian lebih banyak penyelidik di barat kerana penemuan Gausmann adalah piramid di China. 
 
Namun, Laporan Gaussman hanya berakhir di dalam arkib tentera Amerika tanpa diketahui sebabnya. Mungkin mereka menyangka itu hanyalah kekeliruan Gausmann akibat masalah kapal terbangnya.

Dua tahun selepas laporan Gausmann, piramid China kembali heboh diperkatakan. Kolonel Maurice Sheahan, pengarah Trans World Airline mengakui bahawa beliau juga pernah melihat piramid raksasa China itu. 
 
Pengakuan Sheahan itu dimuatkan di dalam akhbar harian New York Times pada 28 Mac 1947 dengan judul artikel "Juruterbang Amerika melihat piramid raksasa China di pergunungan terpencil di barat daya Xian".

Dalam artikel tersebut, Sheahan mengatakan bahawa piramid ini memiliki ketinggian 300 meter dengan lebar 450 meter. Jika anggaran ini tepat, maka piramid ini mengalahkan saiz piramid Mesir yang hanya sekadar memiliki ketinggian 135 meter.

Sheahan juga mengatakan bahawa piramid ini terletak di lembah kaki Gunung Qin Ling sekitar 40 batu ke barat daya Xian. Di piramid raksasa tersebut, ia melaporkan adanya ratusan gundukan kecil yang juga serupa seperti piramid. Namun pengakuan Sheahan itu tidak menyebutkan adanya batu seperti mutiara di puncak piramid berkenaan.

Dua hari selepas artikel itu dimuatkan dalam akhbar New York Times, Kisah ini dimuatkan kembali ke New York Sunday News. Kali ini mereka menampilkan sebuah foto piramid yang diketahui sebagai imej yang diambil oleh Gaussman pada tahun 1945. 
 
Sejak saat itu bangunan akhbar berkenaan menjadi objek perdebatan dan spekulasi. Siapakah yang membinanya? Untuk apakah bangunan itu dibina? Namun tiada seorangpun yang benar-benar tahu dengan pasti kerana ketika itu, Kerajaan China bertindak mengasingkan diri daripada dunia luar.

Beberapa tahun kemudian, penulis Jerman bernama Hartwig Hausdorf telah menulis di dalam bukunya yang diterbitkan pada tahun 1994 berjudul Die Weisse Pyramide (The white pyramid). Di dalam buku tersebut dipaparkan banyak foto piramid-piramid di China. 
 
Hausdorf mengaku bahawa ia telah dibenarkan oleh kerajaan China untuk melawat beberapa lokasi yang dahulunya terlarang untuk diambil gambar-gambar di wilayah tersebut.

Dan pada masa sekarang, piramid-piramid di China sudah bukan bersifat rahsia lagi. Kita boleh melihat piramid-piramid ini dari google earth dan bahkan kita boleh melawat terus ke lokasi tersebut.

Berbeza dengan piramid di Mesir yang diperbuat daripada batu-batu besar, piramid di China terbina daripada gundukan tanah yang dipadatkan yang dibina sebagai kubur para maharaja. Dua di antara piramid piramid yang terbesar dan paling terkenal adalah Qin Shi Huang Mausoleum dan Maoling Mausoleum.

Qin Shi Huang Mausoleum
 
Mausoleum ini adalah piramid China yang terbesar sekali di antara kesemua piramid yang ada di China. Ketinggian awalnya adalah sekitar 76 meter, namun seiring dengan perjalanannya waktu, piramid ini terhakis sehingga tinggal 47 meter sahaja. Dasarnya mempunyai saiz 357 meter X 354 meter.

Tempat ini adalah tempat peristirahatan terakhir maharaja Qin Shi huang, raja pertama Dinasti Qin yang membina tembok china dan menyatukan seluruh China pada tahun 221 SM. Di piramid ini juga, pada tahun 1974, tiga orang petani yang ingin membuat telaga tanpa sengaja telah menemui parit-parit yang mengandungi patung-patung teracotta yang sekarang ini merupakan salah satu lokasi arkeologi paling termahsyur di dunia.

Menurut buku "Records of the Historian: Biography of Qin Shi Huang", sejarawan Sima Qian (145-90 SM) menyebutkan bahawa mausoleum ini mempunyai bilik-bilik yang mengandungi miniatur-miniatur istana dan paviliun dengan kolam air raksa yang mengalir di bawah langit- langit bertakhtakan permata yang membentuk gambar matahari, bulan dan bintang.

Dengan kata lain, isi mausoleum ini menunjukkan replika dari kerajaan sang maharaja lengkap dengan lima gunung suci di dalamnya. Para penyelidik Cina yang meneliti kandungan tanah di sekitar mausoleum sememangnya ada menemui kandungan raksa yang cukup tinggi. Ini mengesahkan kredibialiti tulisan Sima Qian. Menurut catatan Sima Qian, makam ini dibina ketika Qin Shi Huang masih berusia 13 tahun. Tenaga buruhnya adalah seramai 700,000 pekerja dan diselesaikan dalam masa 20 tahun.

Para pekerja memindahkan tanah sehingga sama tinggi dengan paras air di dalam tanah, lalu lantainya dilapisi dengan gangsa cair yang kemudian ditimpa dengan batu sarkofagus. Setelah kerja pembinaannya selesai, semua pekerja yang mengetahui jalan masuk ke makam ini dibunuh untuk menjaga kerahsiaannya piramid ini.

Hingga ke hari ini, piramid ini masih menyimpan rahsianya kerana kerajaan China masih belum membongkarnya dengan alasan takut merosakkan beberapa bahagian berharga dari kubur itu.

Maoling Mausoleum
 
Mausoleum ini, yang juga dikenali sebagai piramid putih besar, memiliki ukuran dasar 222 meter X 217 meter. Ini menjadikannya sebagai piramid kedua terbesar di China. Piramid ini adalah piramid yang fotonya terpampang di surat khabar New York Sunday News pada tahun 1947. 
 
Dengan kata lain, piramid inilah yang telah dilihat oleh Sheahan, dan mungkin juga oleh Gaussman. Namun, sepertinya Sheahan telah keliru dalam membuat anggaran ketinggian piramid ini kerana piramid ini ternyata hanya memiliki ketinggian sekitar 45 meter.

Mausoleum ini merupakan tempat peristirahatan terakhir Maharaja Wu yang bernama Liu Che (atau Wu Di) yang memerintah dari tahun 157-87 SM. Ini bermakna piramid tersebut telah berusia 2.000 tahun lebih.

Sejarah telah mencatatkan bahawa diperlukan waktu sehingga 53 tahun untuk menyiapkan binaan ini dan di dalamnya tersimpan banyak objek berharga. Berbeza dengan mausoleum Qin Shi Huang, mausoleum ini telah diekskavasi dan sebahagian artifak berharganya disimpan di muzium dan dipamerkan.

Walaupun telah diketahui bahawa piramid ini adalah sama dengan piramid di dalam foto yang muncul pada tahun 1947 itu, namun masih ramai lagi para penyelidik yang masih kebingungan dengan satu kemisteriannya. 
 
Menurut Gaussman, ia mengakui telah melihat terdapat sebuah material yang seperti mutiara di puncak piramid itu. Namun, didapati bahawa puncak piramid ini ternyata datar, seperti terpotong. Apakah Gausmann berbohong?

Atau, apakah seseorang telah memindahkan puncak piramid tersebut? Atau mungkin, di suatu tempat di China masih ada lagi sebuah piramid putih raksasa setinggi 300 meter dengan puncak berkilau yang belum ditemui?
 
Misteri Bersambung- Misteri Piramid Di China

Misteri Senibina Piramid Mesir Purba

Sekadar Hiasan
PIRAMID-PIRAMID MESIR PURBA menakjubkan sesiapa saja yang memandangnya. Ia adalah struktur-struktur yang masih wujud di kalangan Tujuh Keajaiban Dunia, mengharungi ribuan tahun dipenuhi cuaca padang pasir yang ganas dan kerja tangan manusia. 
Hakikat bahawa ia masih berdiri juga adalah satu misteri, memandangkan kawasan sekitarnya adalah zon gempa bumi dan banyak binaan telah tumbang sejak piramid-piramid Giza selesai didirikan dahulu.

Ramai orang mendakwa mereka telah bertemu dengan apa yang dipanggil "kuasa piramid", dengan meletakkan objek-objek tertentu di bawah model skala Piramid Agung Giza (piramid Firaun Khufu, atau Cheops). 
Model piramid itu seharusnya dilaraskan supaya setiap sisinya menghadap empat mata angin utama - Utara, Timur, Selatan dan Barat. Objek itu pula harus diletakkan di bawah satu pelantar untuk meninggikannya kepada tahap satu pertiga dari ketinggian piramid itu. Selepas beberapa lama, keajaiban-keajaiban mula berlaku.

Pada tahun 1959, satu paten telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Patent Czech kepada Karl Drbal, seorang jurutera radio, untuk satu "alat bagi mengekalkan ketajaman pisau cukur dan alat pencukur". "Alat" itu adalah satu model skala 1:1000 Piramid Agung, diorientasikan dengan betul. 
Beliau meletakkan di bawah piramid itu - pada kedudukan satu pertiga dari ketinggian piramid - pisau-pisau cukur, yang mana paksi terpanjangnya menganjur dari Utara ke Selatan. Beliau menemui bahawa pisau-pisau itu kekal tajam walaupun selepas 50 kali bercukur. Ini membuatkan beliau memohon untuk mendapatkan paten tersebut.

Para piramidologis - mereka yang mengkaji sifat-sifat piramid - mengatakan terdapat penumpuan tenaga dan medan magnetik di dalam piramid. 
Kajian terbaru menunjukkan bahawa sememangnya terdapat satu penumpuan kecil medan magnetik di dalam sebuah model skala piramid, diorientasikan dengan betul terhadap mata angin. 
Kita sedia maklum bahawa medan magnet memberikan kesan terhadap kehidupan di bumi - jerung berkepala tukul, sebagai contoh, bergantung kepada medan magnetik semula jadi di dasar lautan untuk memandu arah pergerakan mereka.

Mungkin penumpuan tenaga dan medan ini menghasilkan perubahan dalam sifat-sifat objek yang diletakkan di bawah piramid, tetapi kenapa ia berlaku di dalam piramid yang memiliki ukuran yang betul dan diorientasikan dengan tepat - soalan ini masih belum terjawab sepenuhnya. 
Banyak eksperimen turut gagal membuktikan kewujudkan "kuasa piramid".Walau bagaimanapun, ramai orang secara tidak sedar mula mempercayai bahawa piramid boleh membawa kebaikan kepada mereka. 
Dapatkah anda perhatikan bahawa banyak bangunan pencakar langit baru-baru ini memiliki puncak berbentuk piramid? Trend baru dalam senibina, atau pendekatan mistik ke arah kesempurnaan?

Fail-X: Sebenarnya melalui pengkajian yang mendalam terhadap piramid, para pengkaji memang mengakui bahawa bentuk piramid mampu menghasilkan tenaga yang boleh membawa banyak kebaikkan. Makanan yang diletakkan di bawah piramid lebih tahan lama dan tumbuhan yang berada didalam piramid lebih subur. 
 
Ada sesetengah orang yang mereka piramid sendiri dan bermeditasi di dalam piramid tersebut. Dikatakan hasil dari meditasi di dalam piramid itu membawa banyak kebaikkan kepada orang tersebut.

Malah sebuah kajian juga pernah dilakukan di negara matahari terbit, Jepun berkenaan dengan struktur binaan model piramid yang dibuat dengan ketepatan yang jitu. Eksperimen itu dilakukan dengan menggunakan sepasang bangkai tikus putih dan dua buah epal segar. 
 
Eksperimen itu dilakukan pada 2 buah eksperimen yang berbeza tetapi bukan sekaligus. Ia dilakukan dengan meletakkan seekor bangkai tikus putih dan sebiji epal segar di tengah² binaan piramid yang dipercayai tempat terletaknya makam firaun di dalam piramid yang sebenar. 
 
Sementara seekor lagi bangkai tikus putih dan sebiji epal berkenaan diletakkan di luar bersebelahan binaan model piramid dan dibiarkan selama beberapa hari.

Hasilnya setelah dibiarkan beberapa hari adalah memeranjatkan kerana didapati bangkai tikus putih dan buah epal yang diletakkan di tengah² binaan piramid tersebut kelihatan lebih baik berbanding dengan bangkai tikus dan buah epal yang diletakkan di luar bersebelahan model piramid berkenaan yang dibina pada ukuran yang jitu dan tepat. 
 
Padahal bangkai tikus dan kesegaran buah epal itu telah ditetapkan kualitinya adalah sama sebelum ia diletakkan di dalam dan di luar model piramid.

Sebenarnya kelebihan sebuah piramid itu bukan terletak pada permukaan bentuk piramid, tetapi ketepatan sudutnya. Jika anda mereka sebuah piramid tetapi mempunyai sudut yang tidak tepat, hasilnya pasti menghampakan. 
 
Piramid sebenarnya adalah salah satu bentuk geometri dari banyak bentuk geometri lain yang diaktakan ajaib. Jenis bentuk geometri ini dipanggil sebagai 'sacred geometry'. Semua 'sacred geometry' mempunyai suatu persamaan iaitu suatu ukuran sudut yang sama iaitu Phi 1.168 (Golden ratio). Jika anda berminat mengetahui tentang 'sacred geometry' ini, anda bolehlah cari di mana-mana enjin carian dengan menaip "sacred geometry".
Misteri Bersambung- Misteri Senibina Piramid Mesir Purba

Thursday, September 20, 2012

Misteri Ke Ni



Wahhh...yang ni apa cerita plak ni...kejadian berlaku di China...ada yang kata malaikat yang bantu,ada yang kata teknik Adobe Flash,After Effect...entah la eden pun tak tau nak kata camna...Layannnnn...
Misteri Bersambung- Misteri Ke Ni

Mencari Harta Karun

Bercakap Dengan Jin Siri 10 : Mencari Harta Karun
 
 
Mahu atau tidak mahu, saya mesti patuh pada perintahnya. Saya pun memilih beberapa pasang pakaian yang saya fikirkan sesuai untuk dipakai waktu malam.
“Berapa lama kita di sana tok,” tanya saya sambil memasukkan pakaian ke dalam beg. Datuk yang sedang menghisap rokok daun berhenti dari menulis rajah di atas kertas putih. Memang itu perangai datuk. 
 
Kalau mahu berjalan ke mana-mana. Dia buat rajah dahulu. Dia mahu memastikan, apakah perjalanannya itu membawa tuah atau sebaliknya.
“Boleh jadi sehari dua, boleh jadi seminggu dua, bergantung pada keadaan.”
“Keadaan macam mana tok ?”
“Kalau banyak burung yang kita dapat lamalah kita di sana.”
“Bila kita nak bertolak.”
“Aku fikir pagi esok saya.”
Datuk bangun. Dia turun ke tanah. Saya kira datuk bersiap-siap untuk pergi ke kampung bunian menemui isteri mudanya. Dugaan saya tidak tepat. Datuk cuma pergi ke belakang rumah melihat ayam dalam kandang. 
 
Saya barang yang mahu dibawa sudah saya kemaskan. Saya melangkah ke anjung rumah. Sebuah kereta tua masuk ke dalam kawasan rumah datuk. 
 
Bila pintu kereta dibuka, keluarlah seorang lelaki Inggeris. Kepalanya separuh botak. Saya kenal orang Inggeris itu. Namanya Mr. Brown pengurus ladang getah, Sungai Bruas.
Mr. Brown terus mendapatkan datuk di belakang rumah. Pengurus ladang getah itu, memang selalu menemui datuk, kalau dia mengalami silap urat. Kalau dia diserang penyakit dia lebih dulu meminta ubat cara kampung dari datuk. 
 
Kalau tidak baik baru dia menemui doktor. Pernah dia menawarkan kerja di ladang getah pada saya. Dia suruh saya jadi kerani. 
 
Permintaan itu saya tolak. Kedatangannya pada hari itu, tidak saya hiraukan. Saya agak tentu dia silap urat dan minta datuk mengurutnya. Kalau tidak masakan dia datang, fikir saya. 
 
Lama juga Mr.Brown bercakap dengan datuk di belakang rumah. Mr. Brown cukup fasih bercakap Melayu. Dia boleh membaca dan menulis jawi. Pernah dia bercerita pada saya yang dia lama duduk di Palestine dan Iraq masa perang dunia yang pertama dulu.
Saya terus baring di anjung rumah. Mr.Brown naik ke atas anjung bersama datuk. Saya bangun dan duduk bersila macam mereka. Mr.Brown membuka peta.
“Di sini, harta itu ada di sini,’ ujarnya dengan tenang sambil menandakan kawasan dalam peta dengan pensil merah. Datuk termenung panjang.
“Kawasan itu jauh, kalau silap masuk kita sesat dalam hutan,” tingkah datuk sambil memeluk lutut. Mr.Brown tersenyum. Dia melagakan gigi atas dengan gigi bawahnya beberapa kali.
“Minggu dulu mandur saya pergi menembak ayam hutan, mereka jumpa kubur besar dalam hutan, macam kubur raja. Ada emas atas kubur, tapi mandur saya tidak berani ambil,” jelas Mr.Brown lagi,
“Saya dah minta kebenaran dari tuan OCPD untuk masuk kawasan itu dan membawa barang untuk meletupkan gua.”
Datuk terdiam. Saya mula resah. Saya tahu kawasan yang disebutkan oleh Mr.Brown itu, ialah kawasan kerajaan Melayu Bruas lama yang sekarang menjadi hutan belukar. 
 
Satu ketika dalu, pernah orang-orang kampung yang sesat dalam hutan kerana mencari rotan terjumpa kawasan istana lama, lengkap dengan taman bunga, rumah batu dan kawasan permakaman di raja. 
 
Bila orang itu pergi untuk kedua kalinya mencari kawasan tersebut. Kawasan itu tidak dijumpai lagi. 
 
Malah orang pergi itu, diserang demam panas berbulan-bulan lamanya. Menurut cerita arwah Haji Hamid, kawasan itu cukup keras, Mahkota, emas berlian dan pedang kebesaran raja-raja dahulu tertanam di situ. 
 
Orang-orang yang jujur dan ikhlas saja yang selalu terjumpa kawasan tersebut. Arwah Haji Hamid dua kali terjumpa kawasan tersebut. Anehnya, kalau sesiapa yang berniat mahu mencarinya, sampai kiamat tidak akan terjumpa.
“Saya sudah lama menyiasatnya, sejak saya datang.” Mr.Brown bersuara sambil melihat peta. Datuk terus tersenyum.
“Di kawasan ini, dulu ada kota kerajaan Gangga Negara,” Mr.Brown tanda peta dengan pensil merah.
“Dari sini, kita boleh pergi ke Padang Serai, dari situ kita pergi ke Segari. Tidak jauh dari situ ada kawasan kerajaan Manjong,” Mr.Brown berhenti menandakan peta dengan pensil merah. 
 
Saya gigit bibir. Datuk kelihatan tenang. Wajah Mr.Brown nampak cemas. Mata merenung ke peta kembali. Kemudian Mr.Brown bercerita tentang kerajaan Gangga Negara. Dia tahu semua kawasan dan wilayah kekuasaan kerajaan Gangga Negara.
“Dari mana awak tahu ?” Soal datuk.
“Di London, di sana semua fasal sejarah Malaya ada di muzium, saya datang ni bukan mahu jadi manager, tapi saya mahu siasat negeri awak.”
“Kalau dapat awak mahu buat apa ?”
“Barang-barangnya saya bawa ke London, kemudian saya tulis buku sejarah negeri awak,” ujar Mr.Brown dengan bangga. 
 
Kerana terlalu pandai Mr.Brown memujuk. Datuk mahu membantunya mencari kesan sejarah lama itu. Mr.Brown berjanji dengan datuk kalau mereka berjumpa dengan barang-barang purba. 
 
Dia tidak akan mengambilnya. Dia sekadar mahu melihat dan menyiasat serta mengambil gambar. Mr.Brown juga akan membawa barang makanan yang secukupnya selama penyiasatan itu diadakan. 
 
Selain daripada itu Mr.Brown akan membawa tiga orang pekerjanya untuk turut sama dalam rombongan itu. Dalam tilikan datuk, rombongannya akan bertemu dengan kawasan yang dihajati oleh Mr.Brown itu.
Akhirnya, rombongan itu berangkat ke tempat yang dituju. Saya cukup gembira, kerana saya tidak dikecualikan dari rombongan tersebut. Rombongan kami bertolak dari kawasan rumah datuk, kira-kira pukul enam pagi dengan sebuah jeep menuju ke kawasan pecah batu di Seputih. 
 
Dari situ berjalan kaki menuju ke tepi Sungai Bruas. Kami menaiki sebuah sampan kecil yang berbumbung. Sebelum itu, Mr.Brown dan datuk sudahpun pergi ke Kampung Kota melihat tulisan di batu nisan lama yang terdapat di situ. 
 
Menurut Mr.Brown, mencari kawasan lama itu lebih baik melalui sungai daripada mengikuti jalan darat. Ada dua sebab, kenapa Mr.Brown memilih ikut sungai, pertama mudah dan kedua orang-orang dahulu selalu membuka kawasan di tepi sungai.
Lama juga bersampan di Sungai Bruas. Akhirnya Mr.Brown menyuruh orang yang mendayung sampan rapat ke tepi. Dari situ mendaki satu kawasan bukit kecil. Kami berkhemah di situ. 
 
Dua hari kami di situ, masuk hari yang ketiga. Salah seorang daripada rombongan kami jatuh sakit. Dia menjerit tidak tentu arah. Bagaikan kemasukan hantu. Puas datuk mengubatnya. 
 
Sakitnya tidak juga mahu hilang. Matanya merah. Lidahnya sentiasa keluar. Mr.Brown mengambil keputusan untuk menghantar pulang dua orang pekerjanya itu. Sepeninggalan Mr.Brown, datuk dan saya hanya duduk di dalam khemah saja.
Malam itu, saya tidak dapat tidur dengan lena. Macam-macam suara yang saya dengan. Datuk duduk di kanan saya, sekali-sekala, saya dengar datuk bercakap. Dengan siapa dia bercakap, saya tidak pasti. Tetapi suara orang yang dilawannya bercakap jelas kedengaran. 
 
Orang itu menyuruh datuk berpindah ke tempat lain, kerana kawasan yang diduduki sekarang kawasan larangan. Datuk berjanji dengan orang itu akan pindah pada pagi esok. 
 
Lepas itu, saya lihat datuk tidur dengan lena hingga ke pagi. Lebih kurang pukul sepuluh pagi Mr.Brown pun tiba. Dia membuka peta lagi. Mr.Brown sukat peta dengan kayu pembaris.
“Kita masuk ke dalam lagi,” katanya. Tanpa membantah datuk dan saya mengikut perintahnya. 
 
Satu kawasan lapang kami cari. Berkhemahlah kami di situ. Sementara menanti matahari terbenam, Mr.Brown mengutip dan meneliti tanah dan batu yang ditemuinya di kawasan tersebut.
 
“Kita berada di kawasannya,” kata Mr.Brown pada datuk sambil membaca buku tebal yang dibawanya. Setiap kali dia dapat tanah atau batu dia buka buku. 
 
Matahari pun terbenam di kaki langit. Datuk ambil air sembahyang dari kolam yang terdapat di situ. Airnya cukup jernih. Lepas sembahyang datuk dan Mr.Brown terus masak. Lepas makan Mr.Brown baca buku. 
 
Lampu gasolin yang terpasang dalam khemah cukup terang. Dalam ingatan saya, sudah tiga malam kami berkhemah dalam hutan tebal. Lebih kurang pukul sembilan, saya sudah tidak berdaya membuka kelopak mata. 
 
Saya mengantuk betul. Saya terus tidur dan bermimpi menemui seorang perempuan yang cantiknya tidak dapat saya lukiskan. Dia bagaikan gadis bangsawan duduk berjuntai kaki di balairong seri sambil membawa lagu-lagu Hindu dengan irama yang merdu dan halus. 
 
Dia bangkit lalu mendekati saya. Dia mengajak saya berjalan mengelilingi istana. Kulitnya cukup halus. Bau badannya semerbak wangi. Senyum sentiasa terukir di bibir nipisnya.
“Siapa namamu,” tanya saya. Dia tidak menjawab. Jejari tangannya yang lentik terus mengheret tangan saya menuju ke pokok besar. Saya patuh pada arahannya, berjalan di rerumput yang menghijau di depan istana.
“Ke mana ?” soal saya. Dia tidak menjawab, tapi jari telunjuknya menuju ke arah pohon beringin rendang.
“Siapa namamu ?” ulang saya lagi. Dia berhenti berjalan.
“Dayang pada Tuan Puteri Zarid Gangga,” dia menjelaskan pada saya. Fahamlah saya sekarang. Rupanya dia orang kanan dalam istana kerajaan Gangga Negara. 
 
Sebaik saja sampai di bawah pohon beringin. Dia menghilangkan diri. Saya terkejut dan terbangun. Saya lihat Mr.Brown masih lagi membaca buku dan meneliti ketulan batu dan tanah yang dikutipnya. 
 
Datuk masih lagi mengadap asap kemenyan yang dibakar. Saya ceritakan pada mereka apa yang saya alami masa tidur tadi.
Pagi esoknya, kami mencapai kata sepakat untuk menggali tanah di bawah pohon beringin. Lima jam kami menggali tanah. Akhirnya kami menemukan sebuah peti besi yang dibuat dari logam kekuningan. 
 
Mr.Brown segera membuka peti itu. Datuk terkejut, kerana didalam peti itu terisi tengkorak manusia. Kami berhenti menggali, kerana hari sudah beransur gelap. Datuk membungkus tengkorak itu dengan kain kuning. 
 
Malam pun tiba. Datuk mengusap tengkorak itu dengan kemenyan. Dua tiga kali dia meletakkan tengkorak itu atas peti dan merimbasnya dengan kain hitam.
“Tengkorak ni tak ada apa-apa,” kata datuk pada Mr.Brown. Mr.Brown anggukkan kepala.  
 
Tengkorak itu diletakkannya di dalam peti. Lepas itu kami masuk ke dalam kelambu masing-masing. Menjelang tengah malam, saya terjaga. Bagaikan ada tangan yang menggoyangkan bahu kanan saya. 
 
Yang pertama kali saya dengar, suara wanita menyanyi sayup-sayup di selang-seli dengan bunyi gendang. Nyanyian dan bunyi gendang makin lama makin dekat. Kemudian menghilang. 
 
Cuma yang kedengaran bunyi desiran angin yang kuat. Di tingkah dengan bunyi raungan harimau, suara burung tukang dan jampok bersahut-sahutan. Terfikir juga oleh saya untuk membangunkan Mr.Brown dan datuk. Bila saya kaji dalam-dalam, mereka tidak perlu dibangunkan.
Saya jatuhkan kepala atas bantal. Desir angin dan nyanyian burung hutan terhenti. Saya terdengar suara orang memanggil saya di luar khemah. Saya amati suara itu. 
 
Datangnya dari arah pohon beringin. Suara itu cukup jelas. Saya membuat keputusan untuk keluar dari perut khemah dan menuju ke pohon beringin seorang diri. Di luar khemah, saya dongak ke atas. 
 
Malam memang tidak berbintang, tetepi awan kelihatan cukup bersih. Angin malam bertiup cukup keras. Pepohon di kiri kanan khemah bagaikan digoyang orang. 
 
Tiba-tiba saja hati saya membuat keputusan tidak mahu pergi ke bawah pokok beringin. Saya masuk ke dalam belukar di kanan khemah, saya mahu mengintip dari situ. Saya renung ke arah datangnya suara wanita itu. 
 
Badan saya mengeletar. Sepasang mata saya melihat tubuh seorang wanita berdiri tanpa kepala di situ. Tanpa saya sedari,dahi saya berpeluh, kawasan tempat wanita itu berdiri cukup terang.
Saya membuat keputusan untuk masuk ke dalam khemah. Bila saya mahu melangkah, kepala lutut saya terasa cukup lemah. Saya jatuh terduduk atas tanah. Mata saya masih lagi tertumpu ke arah pohon beringin. 
 
Saya saksikan sebuah kepala bergolek-golek atas tanah, kemudian memanjat tubuh wanita itu, lalu bercantum dengan leher. Dalam sekejap mata wanita itu hilang. 
 
Kemudian berdiri betul di depan saya, Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Bumi serasa tidak ada. Peluh terus menguasai seluruh badan saya. Suara sudah tidak mempu keluar dari kerongkong. 
 
Dalam saat yang payah itu, segera wanita itu hilang. Berdiri di bawah pohon beringin hilir mudik di situ. Memang sahlah, wanita itulah yang saya temui dalam mimpi saya yang lalu.
Kemudian wanita itu pergi ke khemah yang didiami oleh Mr.Brown dan datuk. Lebih kurang lima enam langkah mahu sampai ke gigi khemah, dia berpatah balik. Menuju ke kolam tempat datuk mengambil air sembahyang. Bila wanita itu berdiri di depan kolam, dia terus menjerit. 
 
Saya lihat kepalanya jatuh ke tanah, berguling-guling menuju ke pangkal pohon beringin. Tubuh wanita itu segera ghaib. Serentak dengan itu, saya terdengar suara orang bergaduh, saya terdengar suara jeritan gajah. 
 
Saya terdengar bunyi pedang berlaga. Semuanya tidak kelihatan dan berlaku di kawasan dekat khemah kami. Bila semuanya tidak kedengaran lagi, saya lihat ada tubuh lelaki hitam memeluk seorang gadis genit, tanpa baju dan kain. 
 
Lelaki hitam membalutkan tubuh wanita itu dengan jubah yang dipakainya. Wanita dibawanya naik ke atas belakang gajah. Mereka bergerak ke selatan bersama dengan bunyi gendang perang yang hebat.
Sementara itu fajar pagi pun tiba. Saya masih tertiarap atas tanah. Seluruh badan saya terasa lemah. Datuk yang bangun untuk sembahyang subuh bagaikan tahu yang saya tidak ada dalam khemah. Selesai sembahyang subuh dia pun mencari saya.
“Kenapa begini,” tanya datuk terkejut melihat saya terbaring atas tanah. Saya mahu menceritakan semua yang saya lihat, tapi suara saya tidak keluar. 
 
Datuk kembali ke khemah mengambil kain hitam. Barulah saya boleh bergerak dan bersuara. Datuk memimpin saya ke khemah. Dia merungut dan marahkan saya, kerana saya keluar tidak memberitahunya. 
 
Semua yang saya lihat saya ceritakan pada Mr.Brown dan datuk dengan jelas dan terang. Ketika Mr.Brown membuka peti besi kecil tempat menyimpan tengkorak, dia terkejut. Tengkorak yang berbungkus kain kuning, hilang entah ke mana.
Datuk mencadangkan pada Mr.Brown supaya menggali tanah di sekitar kawasan kolam. Mr.Brown tidak setuju , dia lebih suka kalau air kolam itu di keringkan, kemudian perut kolam itu digali. 
 
Datuk terima cadangan itu, kerana mengerinkan air kolam itu bukanlah satu perkara yang sukar. Mr.Brown sendiri ada membawa jentera untuk mengeringkan air. Lebih kurang pukul lapan pagi, kerja untuk mengeringkan kolam pun bermula. 
 
Satu jam kemudian air dalam kolam pun kering. Saya terkejut, rupanya kolam itu dibuat dari batu gunung yang tersusun rapi. Batu bahagian permukaannya sudah banyak yang pecah serta ditimbus oleh tanah.
Datuk menduga, kolam itu tempat mandi dan tempat bermain keluarga bangsawan dalam zaman pemerintah Gangga Negara. Bila air kolam sudah kering betul. Datuk, Mr.Brown dan saya pun memecahkan lantai kolam. Tanah di situpun kami gali. 
 
Barang-barang yang kami temukan di dalam kolam itu ialah rangka manusia dan peti besi yang berisikan tengkorak yang hilang dari simpanan Mr.Brown. Dengan perintah datuk tulang-tulang serta tengkorak itu ditanam semula dalam satu lubang dekat pokok meranti. 
 
Pada sebelah malamnya, datuk membuat keputusan yang nekad. Dia mengajak saya dan Mr.Brown tidur dekat kolam yang sudah dikeringkan itu.
“Ini merbahaya,” bantah Mr.Brown.
“Kalau awak mahu mencari apa yang awak hajat, awak kena ikut saya.” Suara datuk meninggi. Matanya mula merah.
“Ok saya ikut.”
“Begitulah.” Datuk pun ketawa berdekah-dekah.
Sepanjang malam di tepi kolam itu, datuk terus menerus membakar kemenyan. Dia memakai baju hitam, seluar hitam. Sekali pandang, datuk bagaikan hulubalang kerajaan Melayu Melaka. 
 
Datuk terus membaca mentera di depan asap kemenyan. Sekali-sekala dia membuka silat. Tiba-tiba datuk diam. Matanya pejam. Badannya tidak bergerak. Asap kemenyan berkepul-kepul naik ke udara. Datuk rebah di situ. Saya segera mahu menghampirinya.
“Jangan, dia menerima pertunjuk dari orang lain,” kata Mr.Brown sambil memegang bahu kanan saya. Malam terasa cukup dingin dengan tiupan angin yang sungguh kencang. Suara burung hantu dan salakkan anjing serigala kedengaran sayup-sayup. 
 
Datuk melompat dan terus duduk bersila memandang muka Mr.Brown sambil berkata: Seorang pengasuh puteri datang pada aku, dia mengucapkan terima kasih, kerana kita telah mempersatukan tubuh dengan kepalanya serta menanam jasadnya dengan penuh hormat. Ketika aku tanya kenapa dia mengalami nasib buruk itu. 
 
Dia telah menerangkan pada aku, kepalanya telah dipancung oleh angkatan Raja Suran, badannya dicampakkan ke dalam kolam, kepalanya ditanam di bawah pokok beringin. 
 
Dia ingin membalas jasa kita semua. Dia telah memberitahu pada aku di mana barang-barang Raja Gangga Negara, seperti pedang kebesaran, mahkota dan emas berlian ditanam.”
“Di mana tempatnya tok, ” tanya saya tidak sabar.
“Sabar, esok saja aku ceritakan.” Suara datuk tenang. Lepas itu dia mengajak kami kembali ke khemah semula.
Pagi esoknya, datuk menyuruh saya dan Mr.Brown meruntuhkan khemah. Kemudian turun ke dalam sampan. Dari situ kami menyusul tebing sungai Bruas yang penuh dengan buaya liar ke sampai ke Tanjung Ara - dekat Pangkalan Bharu. Dari situ kami mendarat di satu kawasan berbukit. 
 
Hutannya cukup tebal. Kami berjalan ke arah matahari jatuh hingga bertemu dengan kawasan tanah yang agak tinggi yang gondol itu penuh dengan batu-batu pejal. Datuk menyuruh kami mendirikan khemah di situ.
“Puteri itu telah membawa aku ke mari, ” kata datuk, “menurutnya Raja Gangga Negara, Shah Johan telah menanam hartanya di sini. Jauh dari pusat kerajaannya, dia melakukan ini, sebelum kepalanya dipancung oleh Raja Suran.
 
”Datuk pun berhenti bercerita. Mr.Brown ketawa berdekah-dekah. Barang yang dicari dan dihajati sudah ada didepan matanya.
Kawasan itu segera kami bersihkan. Saya terjumpa patung ular yang dibuat dari tembaga dipuncak tanah tinggi itu. Patung ditegah oleh datuk dari dijamah oleh sesiapapun. Kata datuk di bawah perut patung itulah tempat harta karun Raja Gangga Negara.
Mr.Brown pun menyiapkan alat peletup. Menurutnya pendapatnya harta-harta itu tertanam lebih kurang sepuluh meter ke dalam bumi. 
 
Bila dinamit yang dipasang itu meletup, boleh menolong melongsurkan tanah sedalam enam atau lapan meter, kemudian tanah itu akan digali. Datuk setuju dengan cadangan itu, masa untuk meletupkan kawasan itu ditetapkan pada tepat pukul empat petang.
Tepat pukul empat petang, terdengarlah satu letupan bergema dalam hutan tebal, batu-batu berterbangan, pokok-pokok habis tercabut. Tanah tinggi disitu kelihatan rata. 
 
Mr.Brown cukup gembira, dia tidak putus-putus ketawa. Bila ketawanya berhenti, Mr.Brown terkejut besar, dari kawasan tanah yang diletupkan itu keluar beratus-ratus ekor ular sebesar peha menyerang kami. 
 
Saya, datuk dan Mr.Brown lari lintang pukang menuju ke perahu untuk menyelamatkan diri, semua barang-barang kami tinggalkan. Sampai di perahu saya lihat dahi Mr.Brown berdarah. Seluarnya habis koyak.
Kami menyusul tepi sungai Bruas menuju ke arah Pekan Pangkalan Bharu, Ketika itu senja sudahpun tiba, hari sudah mula gelap. Perahu kami tiba-tiba tidak boleh bergerak. 
 
Air sungai melimpah dengan tiba-tiba. Tebingnya yang tinggi ditenggelami air. Datuk nampak cemas. Kemudian dia senyum dan berkata : “Kalau kami salah ampunkanlah.”
Sehabis sahaja datuk berkata, dari perut sungai timbul seorang lelaki yang bertubuh besar dengan pakaian kebesaran seorang raja. Anehnya semua pakaiannya itu tidak basah, meskipun ia baru timbul dari dasar sungai.
 
Wajahnya kelihatan bengis. Malam yang gelap itu bertukar menjadi cerah bagaikan siang hari. Datuk terus berhadapan dengan orang itu.
“Awak mesti tahu, tidak seorangpun yang boleh mengambil harta kerajaan Gangga Negara. Itu milik kami. 
 
Awak sebenarnya manusia bodoh, kalau ular yang keluar dari lubang yang awak letupkan itu awak tangkap, ular-ular itu akan bertukar menjadi harta karun dan emas. Awak mesti menerima hukuman kerana mengkhianati kami,” lelaki bertubuh besar bersuara.
Datuk masih berhadapan dengannya, cukup tenang menghadapi suasana yang gawat itu. Datuk mengenakan tanjak di kepala dan mencabut keris dari pinggang.
 
Misteri Bersambung...
Misteri Bersambung- Mencari Harta Karun

Wednesday, September 19, 2012

Panjat Bilik Anak Dara

Bercakap Dengan Jin Siri 9 : Panjat Bilik Anak Dara
Sepanjang malam itu, datuk tidak tidur. Dia duduk termenung di anjung rumah hingga matahari pagi terbit di kaki langit. 
Cuma ada satu saja yang datuk rasa agak ganjil, setelah menemui manusia berkepala anjing dia tidak mendengar suara perempun menjerit atau menerima pengaduan dari anak buahnya sama ada mereka bertemu atau memburu manusia berkepala anjing.

“Agaknya, dia sudah lari dari sini,” beritahu datuk pada nenek ketika sarapan pagi. Nenek tidak menjawab. Dia cuma merenung muka saya dengan wajah yang sangsi.

“Lari atau menyiapkan diri,” terungkap dari mulut nenek. Datuk tersenyum. Saya terus menghirup air kopi.

“Biasanya perkara yang jahat tidak lama berkuasa,” suara datuk lembut.

“Maksud awak ?”

“Yang jahat tidak diperkenankan oleh Tuhan,” sahut datuk dan terus bangun.

Datuk menyuruh saya pergi ke Paya Besar untuk melihat anak-anak getah yang baru ditanam semula. Dia juga menyuruh saya menebang pokok-pokok pisang di celah anak-anak getah.

“Tebang yang mana kau agak boleh merosakkan anak getah kita,” pesan datuk. Saya mengangguk. Ke Paya Besarlah saya pagi itu dengan basikal tua membawa sebilah parang. Lebih kurang pukul tiga petang saya kembali ke rumah. 
Terkejut juga saya, bila melihat ada beberapa orang duduk di anjung rumah berbincang dengan datuk. Saya kira mereka membincangkan peraturan berjaga malam.
Saya terus ke sungai untuk mandi. Lepas itu makan dan membaca suratkhabar jawi, memang datuk tidak pernah tinggal membeli akhbar sejak dari zaman muda lagi.

Tanpa di duga datuk memanggil saya. Cepat-cepat saya campakkan surat akhbar dan meluru padanya.

“Ada apa tok ?”

“Malam ini, kau turut sama berjaga.”

“Sayaaa…..” suara saya mati di situ. Kawan-kawan datuk mentertawakan saya.

“Kau takut ?” tanya datuk sesudah suara ketawa kawan-kawannya mati. Semua biji mata kawan-kawan datuk tertumpu ke muka saya.

“Tidak,” jawab saya tegas. Kawan-kawan datuk berpandangan sama sendiri. 

Saya ditugaskan berjaga dekat surau hingga ke rumah Haji Shafie, kawan saya yang disyorkan oleh datuk ialah Bidin yang agak tiga suku sedikit perangainya.

Sementara menanti malam tiba, saya berpeluang menyoal datuk tentang kehilangan Imam Hamid. Tidak banyak yang mahu diceritakan oleh datuk tentang Imam Hamid. Datuk cuma mengatakan Imam Hamid meninggalkan kampung kerana urusan peribadi. 
Menurut datuk manusia berkepala anjing ini memang sudah lama wujudnya. Tapi dapat diatasi oleh orang yang cukup handal dalam ilmu kebatinan.

“Tapi orang yang macam tu dak ada lagi,” keluh datuk. Di mukanya terbayang rasa kecewa dan kesal yang amat sangat. 

Dia bimbang kalau manusia kepala anjing itu tidak dapat dihancurkan, bukan satu perkara yang mustahil ada gadis yang menjadi korbannya.

“Macam mana orang tu boleh jadi begitu tok ?” soal saya. Datuk renung muka saya tepat-tepat. 

Dia menggaru pangkal dagunya dua tiga kali. Matanya merenung kosong ke depan.

“Kadang berpunca dari keturunan, ” ujar datuk.

“Caranya.”

“Boleh jadi masa dulu ada datuk neneknya mengamalkan ilmu itu untuk mempertahankan diri, bukan untuk tujun jahat, maklumlah orang zaman duu banyak mengembara dalam hutan terpaksa banyak menggunakan berbagai ilmu,” datuk berhenti bercakap. Dia telan air liur dua tiga kali. Matanya masih juga merenung ke depan.

“Biasanya yang datang dari keturunan tu,” jadi bila dia terdesak dan tak sedarkan diri, umpamanya dipukul oleh orang dengan tidak tentu fasal baru dia jadi, jenis ni tidak merbahaya, boleh dibuang dengan ancak dan rakit ke dalam tujuh kuala sungai. Dan orang itu akan sempurna terus,” saya mendengar cakap datuk dengan penuh teliti.

“Di kampung kita ni macam mana ?” soal saya.

“Orang ini menuntut, tapi silap bawa, fasal tu dia mengganas.”

“Silap macam mana ?”

“Tujuan dia menuntut untuk diri sendiri, tapi masa dia menuntut tu, boleh jadi dia menjalani pertapaan, masa itu dia dipengaruhi syaitan untuk membawa kerja yang tidak baik.”

“Jadi.”

Mendengar cakap saya itu, datuk jadi tergamam. Bila rasa tergamamnya hilang. Dia tersenyum dan terus menepuk bahu saya dua tiga kali.

“Dia terus jadi syaitan,” tambah datuk

“Kerana itulah bila mahu menuntut ilmu keduniaan, terlebih dahulu mengisi dada dengan ilmu agama, dapat membezakan mana yang direlakan oleh agama dan yang mana pula ditegahnya. Tak boleh main ikut-ikut silap-silap gaya kita terkeluar dari ajaran agama.

“Keluar macam mana?.”

“Takbur dan menafikan kebesaran dan kekuasaan Tuhan, sedangkan sesuatu yang berlaku adalah atas kehendaknya, kita boleh jadi murtad,” Datuk segera bangun. 
Memang kalau dia masih ada depan saya, banyak lagi pertanyaan yang mahu saya tanyakan. Datuk tahu perangai saya. Dia memilih jalan mudah dengan meninggalkan saya.

Tepat pukul sepuluh malam. Saya dan Bidin tiga suku mudar-mandir dari satu kawasan ke satu kawasan. Kemudain menuju ke kawasan rumah Haji Shafie dengan membawa sebatang kayu panjangnya kira-kira empat kaki. 
Saya tidak suka dengan perangai Bidin tiga suku yang suka bercakap besar. Sesekali dia bersilat tidak tentu fasal. 
Tidak boleh terdengar katak melompat. Dia buka silat. Kalau dekat dengannya bertabur darah kepala kena kayu di tanganya. Memang saya tahu, Bidin tiga suku baru dua bulan belajar silat cekak.

“Kau jalan seorang dulu Din, aku nak rehat di tangga surau,” kata saya sambil duduk di anak tangga bongsu. Ketika itu sudah pukul sebelas lebih, bulan mula mengambang. Suara salakkan anjing. Mula kedengaran. Sayup-sayup.

“Ok, kalau aku jumpa, aku lipat empat,”

“Jangan begitu, tak baik.” Saya terdiam. Bidin tiga suku terus meronda. Dua minit kemudian Bidin tiga suku datang pada saya.

“Kenapa ?” tanya saya sambil melihat muka Bidin tiga suku yang pucat lesi. Dia tidak bersuara, jari kelingkingnya menunjukkan ke arah pangkal pokok mempelam. Dada saya berdebar. Saya beranikan diri pergi ke pangkal pokok mempelam. 
Sebaik saja saya sampai ke pangkal pokok tersebut. Saya terserempak dengan seekor kucing hitam belang putih menangkap tikus. Saya segera mendapatkan Bidin tiga suku kembali.

“Tak ada apa pun di situ ?” kata saya.

“Di situ, aku jumpa dia, biarlah aku balik dulu, perut aku sakit,” kata Bidin tiga suku terputus-putus. Saya membenarkan dia pulang. Tahulah saya kenapa Bidin tiga suku jadi begitu. Saya terus berjaga tanpa Bidin tiga suku. 
Berjaga tanpa kawan bukanlah satu perkara yang menyeronokkan. Dua tiga kali aya membuat keputusan untuk pulang, tapi kerana memikirkan keselamatan orang ramai saya terpaksa juga berjaga. 
Suara lolongan anjing makin hebat. Sekali-sekala terdengar bunyi suara burung jampok. Tingkah meningkah dengan suara burung hantu.

Angin malam terus juga bertiup, dedaun bergerak. Saya keraskan semangat dan terus meronda. Kalau ada apa-apa yang meragukan hati, saya akan terus memukul bedok memberitahu kawan-kawan lain. 
Saya terus berjalan di bawah sinaran bulan yang agak kabur itu. Waktu saya sampai ke pangkal pokok mempelam bagi kali yang ketiga. 
Saya lihat kucing hitam berbelang putih masih lagi bermain dengan tikus yang ditangkapnya. Saya berdiri di situ. 
Tiba-tiba bahu saya ditepuk dari belakang. Darah saya tersirap. Badan saya mengeletar. Tidak berani saya menoleh ke belakang saya benar-benar jadi kelam-kabut. Saya mula mahu menjerit, tapi sepasang tangan mencekup mulut saya dengan keras. 
Saya berhempas pulas berusaha melepaskan diri. Saya terasa mulut saya tidak dicekup lagi. Segera saya menoleh ke belakang.

“Pak Imam.”

“Iya, jangan bising,” Imam Hamid memberi amaran. Dia berkain pelikat. Berbaju Melayu putih dan bersongkok putih. Matanya merah merenung ke muka saya.

“Ke mana Pak Imam menghilang.”

“Itu bukan urusan kau.”

“Pak Imam yang jadi……,” belum sempat saya menghabiskan perkataan, Imam Hamid menarik tangan saya ke bawah pokok mempelam. Dia suruh saya duduk dan dia berdiri gagah di depan saya tidak memalingkan pandangan ke mana-mana. 
Saya tentang wajahnya dengan harapan di bawah sinaran bulan yang muram, saya dapat melihat pertukaran wajahnya dari manusia kepada anjing. Apa yang saya harapkan tidak terjadi. 
Pak Imam tetap berwajah manusia. Suara salakkan anjing terus menerus. Burung kian kuat berbunyi. Angin malam menggugurkan mempelam tua. Dengan mendadak saja bulu tengkok saya berdiri.

“Datuk kau berjaga sebelah mana ?”

“Sebelah barat Pak Imam ?”

“Bagus, satu peluang yang baik.”

“Apa yang Pak Imam cakapkan ini.”

“Kau mana tahu,” suaranya keras sekali. Dia menarik tangan saya dengan kasar menuju ke surau. Tidak lama kami berdiri dekat surau. Pak Imam menarik tangan saya menuju ke rumah Pak Jalil. 
Dia berdiri betul-betul dekat tingkap bilik Minah anak dara Pak Jalil. Saya makin yakin, bahawa manusia berkepala anjing yang dicari selama ini, adalah Pak Imam. 

Cara yang paling baik saya pilih ialah memukul kepala Pak Imam dekat kayu bila dia terlali.

Sesungguhnya Pak Imam cukup berhati-hati dalam kerjanya. Dia tahu dan ingat tiap langkah yang sudah dan langkah yang akan dibuatnya.

“Saya panggil orang kampung Pak Imam.”

“Jangan, tegahnya. Saya bertambah bingung dengan sikap dan tindak-tanduk Pak Imam Hamid.
 
“Mari berlindung,” Pak Imam Hamid menolak badan saya hingga jatuh atas tanah. Kemudian kami merangkak perlahan-lahan menuju ke pangkal pokok asam jawa yang dikelilingi oleh semak samun. 
Pak Imam Hamid mendongak ke langit melihat bulan. Wajahnya nampak muram, kerana bulan dilangit dilindungi oleh awan tebal. Bila awan tebal berlalu bulan tersembul indah di dada langit. 
Wajah Pak Imam nampak berseri-seri. Mulutnya mula kumat-kamit membaca sesuatu. Dada saya mula berdebar.

Dalam keadaan yang mendebarkan itu, saya lihat Pak Imam Hamid menukar baju dan kain dengan seluar. Seluruh badan Imam Hamid dibalut oleh kain hitam. Songkok putihnya juga ditukar hitam.

“Aku mahu jadi anjing,” katanya sambil menekan batang leher saya ke bumi. Hidung saya mencium tanah. Imam Hamid meniarap. Sama rata dengan tanah. 
Dia memberitahu saya supaya jangan lari atau menjerit. Kalau saya tidak menurut perintahnya, dia akan menikam saya dengan lawi ayam. 
Saya bertambah menggeletar. Suara anjing bertambah kuat. Angin makin kencang bertiup. Berdetup-detap bunyi ranting menimpa bumi. Bulan terus mengambang. 
Suara katak bertambah rancak menyanyi. Imam Hamid masih meniarap. Matanya merenung ke arah rumpun senduduk dan serunai laut di sebelah kanan rumah Pak Jalil. Dua ekor anjing hitam keluar dari situ meraung panjang ke bulan. Ekornya terpacak ke langit. 
Rumpun senduduk dan serunai laut bergerak hebat. Imam Hamid tidak berkata sepatah apa pun. Mulutnya terus kumat-kamit. Saya lihat matanya tidak berkedip memandang belukar kecil di depannya.

“Lihat katanya.” Saya memandang ke depan, seorang lelaki berkulit hitam berkepala anjing keluar dari celah semak itu. Di meraung bagaikan anjing merenung bulan. Lembaga manusia berkepala anjing melompat ke arah tingkap tempat Minah tidur.

“Datuk kau di mana ?” bisik Imam Hamid.

“Macam saya cakap tadi. Orang ini membalas dendam, selagi keluarga datuk kau tidak dirosakkan dia tidak akan berhenti,”

Saya segera teringat Pak Jalil memang ada hubungan keluarga dengan datuk, malah dalam perkiraan datuk, Minah mahu dijadikannya isteri pada seorang cucunya. Jadi cakap Imam Hamid ini memang ada benarnya. 
Fikir saya sendirian. Dalam berfikir begitu saya lihat manusia berkepala anjing menepuk dinding, dan daun tingkap rumah Pak Jalil terkuak dengan sendirinya.
 
Manusia berkepala anjing melompat ke atas. Bertenggik di bendul tingkap. Saya bertambah kelam-kabut. Imam Hamid bangun menuju ke bawah rumah. Dia terus bertempik dan menjerit sekuat hati., kemudian diikuti dengan suara azan yang nyaring. 
Saya terus menuju ke surau lalu memukul beduk. Bila saya pulang ke tempat asal, saya lihat Imam Hamid sedang berhadapan dengan manusia berkepala anjing. Manusia berkepala anjing terus menyerang Imam Hamid.

Dengan tenang Imam Hamid mengelak serangan itu. Saya mendekati Imam Hamid. Dia menyuruh saya pergi jauh. Jelas kedengaran Imam Hamid membaca ayat-ayat suci masa dia bertarung dengan manusia berkepala anjing. 
Saya terus berdoa semoga orang-orang kampung akan datang segera ke tempat Imam Hamid. Dalam keadaan yang gawat itu, saya lihat manusia berkepala anjing tidak berdaya menyerang Imam Hamid. Dia lemah. 
Ketika itulah Imam Hamid memasukkan jawi ayam ke perut manusia berkepala anjing. Imam Hamid meneruskan pembacaan ayat-ayat suci. 
Manusia berkepala anjing berguling-guling atas tanah. Seluruh isi rumah Pak Jalil terjaga. Dan orang-orang kampung pun tiba. Datuk meluru ke depan, Imam Hamid segera menghalang.

“Jangan dekat dia, biarkan di situ nanti kita akan tahu siapa dia.”

“Biar saya tikam,” kata datuk.

“Jangan, kita cuma boleh menikam hanya sekali, kalau dua kali kita tikam dia tidak akan mati,” terang Imam Hamid. Datuk akur dengan perintahnya itu.

Bila manusia berkepala anjing itu berhenti menggelupur, kepalanya segera hilang dan diganti dengan kepala manusia.

“Anjang Dollah,” kata datuk. Imam Hamid senyum, saya bertambah bingung. Macam mana orang yang sudah mati boleh hidup kembali. Perkara itu segera tanyakan pada Imam Hamid. 
Dengan senyum Imam Hamid menjawab, “roh dan badannya tidak di terima bumi, kerana mengamalkan ilmu salah.”

“Begitu,” sahut saya lembut. Saya lihat bekas tempat manusia berkepala anjing itu berguling terdapat batang pisang. 
Datuk terus memotong batang pisang itu tujuh kerat. Dua dibuang ke dalam semak dan yang lima lagi dicampakkan ke laut pada keesokan harinya.
Atas arahan Imam Hamid, dia menyuruh penduduk kampung membaca Yassin empat puluh empat malam berturut. Perintah itu juga dituruti oleh orang-orang kampung. Sejak itu kampung saya tidak diserang oleh manusia berkepala anjing hingga sekarang.

Dua bulan lepas peristiwa itu, datuk mengajak saya pergi ke Kampung Sungai Sadang. Datuk ke situ kerana, dia diajak oleh kenalan rapatnya menangkap burung waktu malam. 
Saya membantah rancangannya, tapi datuk yang terkenal dengan keras kepala itu tidak peduli dengan bantahan saya.

Misteri Bersambung...
Misteri Bersambung- Panjat Bilik Anak Dara