Showing posts with label Bacaan Misteri. Show all posts
Showing posts with label Bacaan Misteri. Show all posts

Wednesday, April 3, 2013

Penunggu Hulu Kinta

Siri Bercakap Dengan Jin Siri 13 : Penunggu Hulu Kinta


 
Datuk terus berbisik kepada saya, “tidurlah, esok kau akan tahu apa yang dah terjadi,” saya angguk kepala dan cuba memejamkan mata dengan harapan saya akan terus terlena. Usaha saya itu gagal sama sekali. Tetapi banyak perkara yang menakutkan datang dalam kepala saya. 
 
Datuk tahu dengan apa yang saya alami. Dua kali dia menghembus muka saya, kemudian memicit batang leher saya mencari urat tidur. Bila urat tidur itu dipicitnya, mata saya terasa berat sekali. Akhirnya saya terlena.
Bila saya membukakan kelopak mata, saya lihat datuk sudah pun selesai sembahyang subuh. Tanpa banyak bicara saya terus ke perigi mengambil air sembahyang. Bila saya mahu memulakan sembahyang saya lihat datuk menyandarkan badannya ke dinding. Kedua belah kakinya diluruskan.
“Aku harap kau akan jadi orang Islam yang teguh dengan rukun yang lima bila kau sudah jadi macam aku,” ujar datuk sebaik saja saya menyelesaikan perintah Allah. Saya tersenyum.
 
“Sembahyang itu tiang agama, kita pandai bercakap dan tahu hukum agama tidak bererti, kalau kita tidak sembahyang,” tambahnya sambil bangun. Datuk berdiri di muka pintu melihat matahari pagi yang mula terbit di kaki langit. Bunyi kicau burung mula kedengaran. Datuk turun ke tanah. Saya mengikutinya dari belakang. Sampai dekat pokok besar datuk berhenti berjalan.
“Kenapa ? Datuk tak mahu mandi embun pagi ni ?” tanya saya.
“Mandi, tapi aku nak mencari mayat Kidon dulu.”
“Aku agak di kawasan ni, kau cari arah matahari terbit dan aku arah matahari jatuh.” ” Baiklah Tok.”
 
Saya berjalan menuju ke arah pokok jejawi besar. Lebih kurang dalam dua puluh langkah mahu sampai ke pangkal pokok jejawi besar, saya terserempak dengan mayat Kidon. Badan saya menggigil saya lihat mayat Kidon tanpa kepala. Seluruh badannya bercalar, macam digaru oleh binatang buas. Datuk pun segera saya panggil.
“Kenapa ?” soal datuk
“Mayat.”
“Mayat,” suara datuk menurun. Dia pun melangkah menuju ke arah mayat Kidon. Datuk mematahkan anak-anak pokok lalu menutup mayat Kidon.
“Kita mandi embun dulu,” kata datuk dengan senyum.
“Mayat ni macam mana tok ?”
“Biarkan di situ dulu, lepas mandi embun baru kita uruskan, baru kita beritahu pada orang kampung.”
“Saya faham tok.”
Pagi itu, kami berjalan di tepi hutan kecil sambil mandi embun. Badan terasa cukup segar. Bila mandi embun selesai. Datuk terus menemui ketua kampung. Kerana Kidon tidak mempunyai sanak saudara, urusan pengkebumian mayatnya diuruskan oleh pesatuan khairat kematian kampung itu. 
 
Ketua kampung memberitahu pada semua penduduk, bahawa kematian Kidon di baham oleh harimau. Perkara yang serupa itu juga dilapurkan kepada pihak polis. Sejak kematian Kidon, Kampung Hulu Kuang tidak lagi diancam toyol yang mencuri wang penduduk dan barang-barang yang berharga.
Seminggu selepas itu kematian Kidon, pondoknya terbakar dengan sendiri waktu dinihari. Akhirnya orang-orang kampung tahu juga yang Kidon membela toyol jadi-jadian. Mereka datang mengucapkan tahniah atas kejayaan datuk.
“Saya tidak membunuh Kidon, dia mati dimakan oleh toyol yang diciptanya sendiri, biasanya toyol jadi-jadian boleh mendurhaka pada tuannya, itulah kepala Kidon hilang,” kata datuk pada pada orang-orang kampung yang melawat pondok Kidon yang terbakar itu.
Waktu datuk mengkais-kais di kawasan rumah Kidon yang sudah dimakan api, datuk menemui tengkorak. Datuk yakin tengkorak itu ialah tengkorak Kidon. Masuk minggu kedua Kidon dikuburkan orang-orang kampung terdengar bunyi suara lelaki menjerit dari tanah kubur waktu malam. 
 
Bila disiasat ternyata suara itu datangnya dari kubur Kidon. Orang-oang kampung terpaksa membacakan Surah Yassin selama dua minggu di surau, mohon pada Allah supaya suara menjerit itu tidak didengari oleh orang-orang kampung. Akhirnya dengan kuasa Allah yang maha besar suara itu tidak kedengaran lagi.
Menurut Imam Masjid kampung tersebut, perkara itu berlaku adalah dengan kuasa Allah yang mahu memperlihatkan kepada manusia di dunia, bahawa sesuatu yang dilakukan tidak mengikut atau terkeluar dari hukum-hukum agama akan mendapat balasan yang setimpal dari perbuatannya itu.
“Orang-orang islam yang baik mendapat rezeki yang halal melalui titik peluhnya sendiri, Islam menyuruh umatnya berusaha dengan cara yang baik, saya harap apa yang terjadi pada diri Kidon akan menjadi pelajaran pada kita semua.” Imam Kampung Hulu Kuang yang berbadan tegap itu memberitahu pada semua penduduk di satu petang di dewan orang ramai. 
 
Dalam jangkaannya, saya dan datuk akan meninggalkan Hulu Kuang pada petang Khamis kerana pada malam Jumaat datuk akan bermalam di rumah isteri mudanya orang bunian. 
 
Jangkaan itu tidak terlaksana. Waktu saya bersiap-siap pada petang Rabu seorang lelaki dari Tanjung Rambutan mengajak datuk menembak kijang di Hulu Kinta.
“Saya setuju, tapi macam mana sekarang musim dharurat,” datuk bertanya pada orang yang mengajaknya. Orang itu ketawa.
“Sebenarnya, saya memang ada memasang jerat pelanduk, kancil dan lain-lain di hutan Hulu Kinta, kita dikenakan perintah berkurung pada waktu malam saja,”
“Jadi.”
“Kita boleh pergi pada waktu siang.”
“Hurm begitu.”
“Tentu Setuju.”
Pada pagi Khamis, saya dan datuk menaiki bas dari Chemor ke Tanjung Rambutan. Dari situ berjalan kaki menuju ke batu lapan. Belumpun pukul sepuluh kami sudah berada di dalam hutan tebal. Sebelum itu kami melapurkan diri di Balai Polis Tanjung Rambutan dan menyatakan tujuan kami masuk ke dalam hutan. 
 
Kawan baru datuk itu memberikan senapang kampungnya untuk digunakan oleh datuk di samping itu dia juga menyuruh datuk membuat beberapa jerat baru. Sampai di satu kawasan, kawan baru datuk menyuruh saya dan datuk menuju ke arah sebuah anak bukit yang menurutnya di situ ada beberapa jerat yang sedang dipasang. Sedangkan dia menuju ke arah lain.
Berpeluh juga saya berjalan dalam hutan itu. Satu keistimewaan datuk yang tidak terdaya saya melawannya ialah, dia terlalu cepat bergerak dalam hutan. Dahan-dahan dan pokok-pokok yang dipijaknya tidak berbunyi. Saya terkejut besar bila seekor harimau dengan tiba-tiba muncul dari balik rimbun pokok salak jambi. Matanya tajam merenung saya. Ekornya bergerak-gerak.
 
“Ah, kamu jangan kacau aku nak lalau di sini, pergi cari makan tempat lain,” begitulah datuk berdialog dengan harimau. Dan harimau itu bagaikan mengerti dengan apa yang datuk katakan itu. Dia bergerak perlahan-lahan dan akhirnya menghilangkan diri dalam hutan yang tebal itu.
“Berhenti,” datuk memaut bahu saya.
“Kenapa tok ?”
“Sembunyikan diri balik pokok.” saya pun akur dengan cakap datuk. Dia meniarap di pangkal pokok besar. Saya juga begitu. Datuk mencangkung, macam kucing mahu menerkam sesuatu. Mata datuk tajam melihat pada rimbun anak-anak pokok yang bergerak. Seekor kancil muncul di depan kami. Datuk melompat bagaikan kucing, dalam sekelip mata saja dia berjaya menangkap kancil lalu dimasukkan ke dalam guni.
Kawasan yang kami masuk itu, sekarang sudah dijadikan pusat latihan dan rumah pasukan polis hutan- Hulu Kinta. Hutan tebal yang kami jelajahi dulu, sudah digantikan dengan hutan rumah pangsa yang bertingkat-tingkat. 
 
Datuk dan saya terus berjalan, kalaulah datuk itu adik saya sudah pasti saya menarik tangannya pulang, saya terasa bosan berjalan dalam hutan yang tebal dan lembab, dengan bermacam-macam bunyi burung hutan. Saya merasakan kesal mengikutnya, kalaulah saya mengikut cakap adik datuk yang menyuruh saya tinggal di rumah tentulah saya tidak mengalami kesengsaraan semacam ini.
Bila saya fikirkan dalam-dalam, ada baiknya menurut datuk berburu dalam hutan. Dapat menambahkan pengalaman saya sendiri. Kepala dah hati terus melayan perasaan, kaki terus juga melangkah meredah duri dan onak. Saya mula terasa dahaga, tekak terasa cukup kering,
“Saya dahaga tok.”
“Kau memang banyak ragam, tadi gatal sangat nak ikut.”
“Jahanam.” Datuk merungut panjang sambil menyambung, “jalan ke depan lagi kalau-kalau ada paya atau kolam, lepas tu kau minum sampai bengkak perut,” datuk terus menolak saya. Ramalan datuk tepat, dua puluh langkah melangkah ke depan kami bersua dengan sebuah paya airnya cukup jernih. Bila saya mahu minum datuk segera menahan.
“Jangan minum.”
“Saya haus tok.”
“Minum di sini, datuk pun mencetus akar besar yang tergantung dari sepohon pokok rendang. Bila akar itu dipotong, darinya keluar air yang bersih. Dan air itu terus saya minum. Dahaga saya terus hilang. Bila saya merenung ke arah paya yang berair jernih, saya lihat air di paya itu bergerak-gerak . Di tengah perut paya itu terdapat seketul batu besar macam bentuk kapal. Saya terdengar bunyi suara orang ketawa panjang tetapi bentuk manusia memang tidak kelihatan.
“Ada suara tok.”
“Aku tahu, aku mendengarnya kerana itu aku tidak membenarkan kau meminum air paya.”
“Kita balik saja tok.”
“Tak usah kita tengok apa yang terjadi.”
Datuk dan saya pun segera bersembunyi di dalam rumpun pokok-pokok hutan. Sya lihat seorang perempuan berkulit putih berambut panjang sampai ke pinggang. Perempuan itu berkemban berenang ke tengah dan ke tepi sambil ketawa. Tiba-tiba perempuan itu hilang. Cuma yang tinggal di tengah paya ialah gelombang air yang beralun-alun memburu tepi paya.
“Siapa tu tok,” saya menyoal.
“Penunggu paya, jangan tunggu lama di sini, susah kita ,” datuk dan saya mula mengubah haluan, kami berjalan ke arah selatan. Datuk mula terasa sesuatu yang ganjil. Dia menyatakan rasa sangsinya terhadap kenalan barunya yang mengajak dia masuk hutan tadi.
Dia mula merasa kesal menerima pelawaan kawannya itu. Lebih aneh lagi kenalan barunya itu tidak pula menjumpai orang-orang di Hulu Kuang sebelum menemuinya. Masa melapurkan diri di Balai Polis Tanjung Rambutan, anggota polis bertugas di situ tidak menyoalnya, seolah-olah kenalan baru datuk itu wujud di depan anggota polis itu, meskipun kenalan datuk itu berdiri di depannya.
“Keganjilannya baru aku sedar sekarang,” rungut datuk. Saya tersenyum. Tetapi wajah datuk kelihatan muram membayangkan rasa kesal yang amat berat dideritainya.
“Aneh juga kawan kita tu, aku bagaikan terpukau. Apakah dia benar-benar manusia atau jin atau syaitan,” sebaik saja datuk berhenti bercakap, kenalan barunya terpacul di depan kami. 
 
Dia menghulurkan tangan untuk bersalam dengan datuk. Datuk menyambutnya. Mulut datuk bagaikan terkunci. Tidak terlahir kata-kata. Kata kenalan datuk itu menundingkan jarinya ke arah barat daya. Datuk angguk kepala lalu menarik tangan saya ke arah barat daya. Bila datuk dan saya menoleh ke belakang, kenalan datuk itu sudah tiada lagi.
Saya terasa bulu tengkuk saya meremang. Bau harum dan wangi mula menusuk lubang hidung saya dan datuk.
Datuk dan saya tidak berkata walau sepatah pun kami terus berjalan hingga sampai ke tebing Sungai Kinta. Di seberang sungai terdapat perkampungan orang asli. Perkampungan orang asli itu sekarang terkenal dengan nama Kinta Intek, kebanyakkan orang asli di situ sudah memeluk agama Islam.
Matahari sudah mula condong, bunyi deru air Sungai Kinta memekakkan lubang telinga. Datuk dan saya terus membasuh muka. Tidak jauh dari tempat kami berdiri terdapat sebuah jambatan merintangi sungai tersebut. Di sekitar kawasan jambatan itu sekarang jadi tumpuan orang ramai setiap hari Ahad untuk berkelah.
“Ke mana kita nak pergi tok, ” saya menyoal datuk.
“Nampaknya ada orang mahu menguji ilmu aku, tapi biarkanlah, ilmu yang aku tuntut untuk kebaikan . Allah yang tahu hati aku,” datuk bagaikan mengeluh. Dia turun ke dalam sungai dan mandi. 
 
Lepas mandi datuk tukar pakaian, memang datuk membawa dua pasang pakaian satu untuk dipakai waktu berjalan dalam hutan, mana kala satu lagi digunakan untuk sembahyang. Datuk terus sembahyang asar di tepi sungai. Marah juga datuk pada saya kerana tidak membawa pakaian yang bersih untuk sembahyang.
Lama juga datuk duduk berehat di tepi sungai. Dia membaca sesuatu dan mengambil seketul batu. Batu itu dilemparkannya ke dalam sungai. Saya diam saja. Biarlah datuk melakukan apa saja yang difikirkannya patut. Dalam keadaan yang tidak tentu arah itu, saya tercium bau yang cukup wangi. Saya kira kenalan baru datuk akan menjelma di depan kami. Bau wangi itu hilang, kenalan datuk tidak juga menjelma.
Saya terus melihat langit, matahari kain condong ke barat. Hati saya sudah menggelabah. Datuk masih juga tenang dan damai.
“Kita balik saja,” datuk memberitahu saya. Cepat-cepat saya anggukan kepala. Saya dan datuk berpusing-pusing dalam hutan Hulu Kinta mencari jalan keluar. Kami tidak dapat menemui jalan yang mana kami lalu tadi, yang anehnya ialah sejauh mana kami bergerak, baik arah matahari jatuh atau matahari naik, kami akan sampai juga ke tepi tebing sungai, malah untuk sampai ke jambatan di sebelah hilir sungai kami tidak berdaya. 
 
Jambatan itu nampak dekat dan kami boleh melihat orang asli berjalan di atasnya, tapi kami tidak dapat menembusi hutan tebal untuk sampai ke jambatan. Berkali-kali diusahakan untuk pergi ke situ tetapi kami gagal juga. Pergi balik pergi balik kami tetap berlegar-legar di kawasan tepi sungai itu juga.
Hari mula remang senja. Datuk menggunakan segala kepandaiannya, ternyata kepandaian datuk tidak berguna sama sekali di dalam hutan Hulu Kinta. Akhirnya datuk memutuskan untuk bermalam saja di tepi tebing sungai tersebut. 
 
Waktu saya mahu pergi ke dalam perut sungai, saya terserempak dengan seekor ular, sebesar batang kelapa. Saya menjerit. Datuk segara menghampiri saya. Datuk juga terkejut melihat ular besar itu. Lama juga datuk menenung mata ular itu.
“Matanya berkedip.” Kata datuk dengan penuh semangat.
“Kenapa, mata ular tidak berkedip ke datuk ?”
“Biasanya begitulah, kalau berkedip tu, tandanya jin atau bukan ular biasa.”
Saya terdiam mendengar penerangan datuk itu. Lagi sekali, saya dan datuk tercium bau wangi yang amat sangat. Hari bertambah gelap. Fikiran saya bertambah kacau. Datuk terus mengadap ular besar. Perlahan-lahan ular itu membuka lingkarannya. 
 
Dalam sekelip mata saja, ekornya menjunam ke dalam sungai. Air sungai yang mengalir deras jadi tertahan. Saya lihat air sungai mula melimpah ke atas terbing. Menenggelamkan batu-batu besar di tengah sungai di bahagian hulu, manakala di bahagian hilir sungai, saya lihat air tidak mengalir.
Saya perhatikan datuk bercakap sesuatu dengan ular tersebut. Setiap kali datuk mengakhiri percakapannya, ular itu mengerakkan kelopak matanya. Ular itu bagaikan mengerti dengan apa yang datuk cakapkan. 
 
Datuk menyuruh saya menutup mata. Saya patuh pada cakapnya. Masa saya menutup mata itu saya terdengar bunyi suara angin yang cukup kuat. Saya juga terdengar bunyi dahan patah dirempuh angin. Bumi yang saya pijak saya rasa bergerak macam berlaku gerak gempa yang cukup dahsyat.
“Buka mata,” ujar datuk.
Saya pun membuka mata. Saya dapati diri saya dan datuk berada di sebuah surau tua. Saya terdengar suara Azan. Seorang lelaki berjubah hijau, berjanggut separas dada menyuruh saya dan datuk mengambil air sembahyang, orang tua berserban hijau itu menjadi Imam sembahyang Maghrib. 
 
Selepas membaca doa, orang tua berserban hijau itu menghantar saya dan datuk ke perkampungan orang asli. Dia menyerahkan saya pada penghulu orang asli yang dipanggilnya dengan nama tok batin bah aloi. 
 
Dia juga menyuruh penghulu orang asli itu menghantar saya dan datuk ke jalan besar Tanjung Rambutan - Ipoh pada siang esoknya. Penghulu orang asli itu memberi pengakuan akan membuat apa yang diperintahnya.
Bila orang tua itu membuka serban dan bersalaman dengan datuk, barulah saya kenal bahawa orang tua itulah yang menjadi kenalan baru datuk itu. Dia mengucapkan terima kasih pada datuk yang telah membinasakan Kidon. 
 
Dia juga mengingatkan datuk supaya jangan datang ke hutan Hulu Kinta tanpa menemuinya terlebih dahulu. Menurutnya, kawasan hutan Hulu Kinta adalah kawasannya. Dia juga meminta datuk memulangkan kancil yang ditangkap oleh datuk.
 
“Kalau kamu tidak menangkap binatang peliharaan aku, kamu tidak akan sesat di sini,” katanya dengan senyum.
“Tapi, awak yang mengajak saya ke mari berburu ?”
“Saya mahu menguji sejauh mana awak boleh menghargai nyawa makhluk lain,” katanya dengan senyum.
“Saya jadi bingung dengan perbuatan kamu,” tingkah datuk.
Jangan bingung, selain dari manusia ada makhluk lain diam di bumi ini, kamu harus mengenali mereka, tapi kau terlebih dulu mengenali kekuasaan Allah yang menjadikan langit dan bumi,” tambah lelaki serban hijau. Kemudian dia menghilangkan diri. 
 
Sebelum tidur, penghulu orang asli memberitahu saya dan datuk dia telah memeluk agama Islam. Orang bertanggung jawab mendorong dia memeluk agama islam ialah lelaki serban hijau itu. Saya menggigit lidah mendengar cakapnya. 
 
Datuk pun menceritakan semua peristiwa yang kami alami pada penghulu orang asli. Dia ketawa. Menurutnya ular besar memang selalu ditemui oleh anak buahnya. Anehnya ular itu tidak pernah membinasakan orang.
“Kalau dia lalu di depan rumah kami, waktu senja menunjukkan ada perkara yang tidak baik akan berlaku, tiga bulan dulu dia melintas waktu senja di kampung kami, seminggu kemudian anak saya mati lemas,” kata penghulu orang asli. Saya dan datuk anggukkan kepala.
“Lelaki serban hijau tu siapa tok batin ?” tanya saya
“Haji Lokman,” jawab penghulu orang asli. Selepas tidak ada pertanyaan yang keluar dari mulut saya atau datuk. Saya dan datuk disuruh tidur di bahagian depan rumah penghulu itu. 
 
Pagi esoknya atas permintaan datuk penghulu orang asli itu membawa saya dan datuk ke kawasan tempat kami bertemu dengan lelaki serban hijau itu. Tidak terdapat sebarang kesan atau tanda kawasan itu pernah didiami oleh sesiapa pun.
“Di tempat ni tak ada apa-apa, dulu kami jumpa orang komunis bunuh diri di sini,” tanpa diminta penghulu orang asli menerangkan.
Saya dan datuk dihantar oleh penghulu orang asli hingga ke tepi jalan besar. Datuk dan saya membuat keputusan untuk berjalan kaki sahaja pergi ke Pekan Tanjung Rambutan yang jaraknya kira-kira dua batu saja. 
 
Sedang seronok melangkah, kenalan baru datuk muncul di depan kami dalam masa dua saat, kemudian dia menghilangkan diri. Sebaik saja saya dan datuk sampai di depan balai polis Tanjung Rambutan, beberapa orang Hulu Kuang bersama adik datuk tersenyum memandang kami, mereka sedang merancang untuk mencari kami di dalam hutan.
Misteri Bersambung- Penunggu Hulu Kinta

Saturday, September 29, 2012

Toyol Jadi-jadian

Siri Bercakap Dengan Jin Siri 12 : Toyol Jadi-jadian


Kalaulah bukan datuk yang mengejutkan saya di tengah malam buta itu sudah pasti kena penendang sulung saya. Kerana datuk, saya tidak dapat berbuat apa-apa. Terpaksa saya terima dengan manis muka, meskipun hati meradang dengan perbuatannya.

“Kenapa tok?” tanya saya sambil menggesel-gesel kelopak mata. Datuk tersenyum sambil meraba-raba misai bengkoknya yang macam tanduk seladang jantan. Sekali-kali misainya turut bergerak.

“Kita sudah hampir pada matlamatnya.”
“Matlamat apa tuk?”
“Mencari orang yang jadi tuan toyol.”
“Kalau kau faham baguslah.”

Datuk merebahkan badannya di sisi saya. Memang saya tidak sedar waktu mana datuk bangun. Bila saya buka kelopak mata, datuk sudah sudahpun selesai sembahyang subuh.  

Dia memaksa saya pergi ke perigi sendirian untuk mengambil air sembahyang. Saya patuh dengan cakapnya itu.
 

Datuk tidak dapat dapat melupakan kebiasaannya berjalan berbatu-batu sambil membasuh muka dan badannya dengan air embun waktu pagi. 

Datuk pula tidak mengambil semua air embun di daun kayu untuk membasuh muka dan badannya. Dia memilih jenis daun yang tidak miang atau gatal. Cara dia menyapu air ke muka juga agak ganjil. 

Dia memulakan dari pangkal dagu membawa ke atas hingga sampai ke gigi rambut. Kemudian baru dia membasuh kedua belah keningnya. Paling akhir sekali dilakukannya ialah memasukkan air ke dalam lubang hidung hingga bersin.
Kemudian datuk akan memijak rumput hijau tujuh kali ke arah matahari naik dan enam langkah ke arah matahari jatuh. 

Kebiasaannya itu, dibuatnya juga semasa dia berada di Ulu Kuang dekat Chemor, apa yang datuk lakukan saya terpaksa membuatnya dan datuk berjanji, pada suatu hari kelak, bila umur saya genap dua puluh satu tahun dia akan memberi beberapa mentera yang perlu dibaca bila mandi air embun.
Pagi itu, berjalanlah saya bersama datuk di pinggir Kampung Ulu Kuang sambil mandi air embun. Saya terasa seronok melihat matahari pagi dengan sinar yang kilau-kilauan di celah-celah pokok besar. 

Bila sinar matahari itu menikam air embun di hujung daun, kelihatan bermanik-manik dan sungguh menarik sekali.

Damai dan terhibur hati saya mendengan bunyi kicau beburung hutan yang bermacam ragam dan bermacam rupa yang terbang dan melompat dari dahan ke dahan. Sambil berjalan datuk memberitahu nama-nama burung yang saya nampak. 

Bila matahari mula meninggi satu galah, saya dan datuk sudah jauh meninggalkan pinggir Kampung Ulu Kuang. Kami memasuki satu lorong kecil menuju ke arah sebuah anak bukit. 

Di kaki bukit itu ternampak sebuah pokok berdinding tepas dan beratapkan daun rumbia. Tiangnya dari kayu hutan jenis bulat. Dalam jarak lima puluh langkah mahu sampai ke halaman pondok itu datuk berhenti berjalan.

“Kenapa datuk?” tanya saya ragu-ragu. Datuk diam, kedua belah tangannya dilekapkan atas dada. Kedua belah kelopak matanya dirapatkan. Datuk melangkah tujuh tapak ke depandan berdiri atas kedua belah tumit kakinya beberapa detik. 

Bila mata dibuka dan kedua belah tangan diluruskan serta tapak kaki memijak bumi, datuk kelihatan tersenyum.

“Memang tidak salah penglihatan aku malam tadi, cahaya dari tanah kubur itu menuju ke sini, “dengan tenang datuk bersuara. Saya jadi termanggu-manggu.

“Kita balik, kalu kita maju, kita bahaya,” datuk pun menarik tangan saya. Kami berpatah balik menuju ke rumah adik datuk.

Sepanjang jalan pulang itu datuk tidak banyak bercakap. Dia lebih banyak memerhatikan gerak geri rumput dan dedaun. 

Saya faham benar, bila datuk berbuat demikian ertinya dia menumpukan seluruh perhatinnya pada sesuatu benda yang tidak dapat dijangka oleh akal fikiran manusia biasa. Saya kira, fikiran dan perasaannya tertumpu ke satu alam yang lain.

Saya tidak berani bertanya padanya tentang hal itu. Saya takut dia naik angin. Kalau datuk naik angin, saya kena maki dengan percuma. Kalau datuk tidak maki, dia akan menjegilkan biji matanya sebesar telur ayam hutan.

“Jauh berjalan pagi ni,” soal adik datuk sebaik saja kami tiba di kaki tangga. Dia baru saja melepaskan ayam di reban. Saya tidak menjawab kecuali tersenyum panjang.

“Macam biasa,” balas datuk. Kami terus membasuh kaki dan memijak tangga naik ke rumah.

Di rumah tengah rumah sudah tersedia sarapan. Air kopi pekat dan rebus ubi kayu serta kelapa parut.

“Rumah siapa dekat belukar tu,” datuk mengkemukakan soalan. Adik datuk terdiam mengingati sesuatu.
 “Rumah Kidon.”
“Orang sini jati?”
“Tidak, macam kita juga berasal tanah seberang.”
“Orang Padang ke orang Jambi.”

Pertanyaan datuk itu segera dijawab oleh adiknya. Saya sudahpun berhenti makan ubi rebus, Isteri adik datuk sudah turun ke tanah pergi ke ladang. 

Bila pertanyaan itu tidak mendapat jawapan, datuk tidak lagi mahu mengemukakan pertanyaan. Dia terus menghirup air kopi dengan tenang.

“Dari Sumatera katanya dari keturunan Batak,” tiba-tiba saja adik datuk bersuara.
“Ada bini tak?” cara tidak sengaja saya bertanya. Datuk menjeling tajam pada saya.
“Dah mati, bininya orang Kedah, emak bapanya bininya menetap di Kuala Kangsar” terang adik datuk dengan jujur.

“Ada anak?’ cepat-cepat datuk meningkah.
“Tak ada, bininya tu mati bersalin anak sulung,”
“Hummmm…,” suara datuk perlahan. Dia menekan pipi kirinya dengan tangan kanan. Terus-terang datuk menyatakan pada adiknya, bahawa dia perlu duduk di Ulu Kuang paling kurang enam bulan. 

Datuk juga meminta adiknya membuat sebuah pondok untuk diri dengan alasan senang untuk beramal ibadat serta berusaha menghancurkan tuanpunya toyol jadi-jadian. Permintaan datuk itu tidak keberatan untuk dipenuhi oleh adiknya.

Seminggu kemudian, terpacaklah sebuah pondok baru di Ulu Kuang Chemor yang didirikan secara gotong-royong oleh penduduk-penduduk di situ. Saya dan datuk pun pindahlah ke pondok baru.

Perkara yang tidak menyenangkan hati saya, bila duduk di pondok baru, ialah bila bulan mengambang penuh. Ketika itu kelihatanlah beberapa ekor harimau besar di depan pondok. 

Dari atas pondok datuk melompat ke tanah lalu bersilat dengan harimau-harimau itu.
Sekiranya, datuk malas ke tanah kerana badannya terlalu letih. Harimau-harimau itu akan menjulurkan ekornya dari celah lantai buluh. 

Datuk akan mencium atau mengurut-urut ekor harimau itu sambil membelitkan ke batang lehernya. Bila terdengar bunyi suara burung jampok atau burung hantu, barulah datuk memerintahkan harimau-harimau peliharaannya pulang.

“Ambilkan aku kain putih, mangkok putih, taruh air dalam mangkok putih separuh, kain putih letakkan ke dinding,” datuk mengeluarkan perintah pada saya malam itu.

Kalau tidak silap, malam itu malam Rabu kira-kira pukul sepuluh. Apa yang diperintahkan datuk saya lakukan dengan senang hati.

Datuk duduk bersila di tengan pondok, Asap kemenyan dari dupa melintuk-liuk memenuhi ruang pondok. Baunya semerbak. Datuk mengatur tujuh piring di depan. 

Piring tepi sebelah kanan ditaruh batang lengkuas, sementara di sebelah kiri ditaruh sebatang serai. Piring tengah ditaruh darah ayam yang disembelihnya petang tadi.

Tiba-tiba seekor kucing hitam melompat masuk ke tengah pondok melalui pintu yang terdedah. Kucing itu merenung muka datuk dengan tajam. 

Datuk menghalaunya, kucing itu tidak mahu bergerak. Saya lihat datuk mengeluarkan secekak tualng-tulang ikan dari karung yang terletak sebelah kanannya. Datuk melemparkan tulang-tulang ikan kering itu pada kucing hitam. 

Dengan tiba-tiba batang lilin yang menyala padam. Saya menyalakan lilin tersebut. Saya lihat kucing hitam sudah hilang dan tempatnya diganti oleh sebungkus kain hitam. Saya kenal, kain hitam itu kepunyaan datuk.

Datuk menyuruh saya memadamkan lampu minyak tanah. Sebatang lilin yang bercahaya dipadamkannya. Keadaan dalam rumah jadi agak samar-samar dan sepi sekali. 

Bunyi katak dan cengkerik jelas kedengaran. Sayup-sayup terdengar suara burung hantu ganas di ranting. Atap pondok bagaikan bergerak-gerak disentuh angin. 

Serentak dengan itu terdengar bunyi air menimpa atap pondok. Bulu roma saya tegak berdiri bila terdengar bunyi suara orang perempuan ketawa dan menangis tersedu-sedu, dekat pokok tembusu di belakang pondok.

“Suara langsuir, bertenang cucuku, bertenang kitan mencari jalan kebaikan dan bukan jalan jahat,” bidik datuk ke telinga saya.

Datuk tidak bergerak bila seketul batu besar meluru masuk ke dalam pondok. Batu itu tepat mengenai pangkal bahu kiri datuk. 

Bila batu jatuh atas lantai, pondok kecil bergegar datuk tidak peduli. Dengan pertolongan cahaya lilin saya merenung ke muka pintu. Satu lembaga besar tanpa tangan, tanpa kaki dan kepala berdiri di situ.

Datuk menarik muka saya. Dia suruh saya melihat air dalam mangkok putih. Di luar guruh bersahut-sahutan sedangkan cuaca malam itu cukup baik.

“Pedulikan semuanya itu, sekarang kau tengok kain putih tu, apa yang kau lihat, jangan kau ceritakan pada sesiapa, kalau kau buat juga padahnya kau tanggung sendiri,” kata datuk, dia terus menabur kemenyan atas bara dalam dupa.

Saya terpaku, saya hampir tidak percaya dengan apa yang saya lihat pada kain putih. Saya raba ibu jari kaki saya, saya raba telinga kanan saya, semuanya ada dan saya tahu, bahawa apa yang saya lihat itu bukan mimpi. Saya melihatnya dalam keadaan sedar dan siuman.

Saya melihat pada kain putih itu, batang tubuh seorang lelaki sedang menggali kubur. Lelaki itu melakukannya waktu malam, Badannya kelihatan berpeluh.
“Itulah Kidon mengorek kubur anaknya,” datuk memberi tahu saya.

Saya lihat mata cangkul Kidon menyentuh papan keranda. Kidon meletakkan cangkul ke tepi lalu menyapu peluh di dahi sebentar.

Kidon mengambil sebatang besi lalu mencungkil papan keranda. Bau busuk membuat dia hampir-hampir muntah. Kidon tidak peduli semuanya itu. Dia turun ke dalam lubang kubur. Dia menatang mayat anaknya keluar dari dalam kubur. Diletakkan dekat pokok.

Kidon masukkan papan keranda kembali, kemudian menimbus lubang kubur seperti sedia kala. Kidon masukkan mayat anaknya ke dalam guni plastik berwarna hijau. 

Dia memikul cangkul dan besi di bahu kiri. Tangan kanannya menjinjing mayat anaknya, macam menjinjing ikan dari pasar.
 

Sampai di rumah Kidon membuka kain kapan anaknya. Mayat anaknya diletakkan atas para yang sudah disiapkannya terlebih dahulu. Dia membasuh mayat anaknya dalam baldi besar.
 

“Air basuh mayat itu, diambil dri tujuh kuala anak sungai,” beritahu datuk pada saya. 

Saya angguk kepala. Mata tidak berkelip melihat kain putih, macam menonton wayang gambar, cuma tidak ada iringan muzik saja. Datuk hanya menerangkan sesekali saja pada saya. 

Anehnya datuk tidak melihat apa yang terjadi pada kian putih. Kedua matanya pemjam rapat seperti orang tidur, dengkur nafasnya macam orang yang sedang tidur lena.

Ketika itu, saya seperti tidak berada di dalam pondok. Saya berada di satu tempat asing sungguh sunyi sepi sekali.
“Air itu diambil ketika remang-remang senja, bersama bunyi gagak,” ujar datuk.
 

Saya lihat Kidon membuka semua pakaian di badan. Dia sudah bogel. Tujuh bunga yang berlainan warna dimasukkan ke dalam baldi. 

Selesai memandikan mayat anaknya, Kidon merenjiskan pula dengan air sebanyak tujuh kali, mulutnya membaca sesuatu Kidon basuh muka dan minum air yang telah digunakan membasuh mayat anaknya tadi.

Saya perhatikan,. Kidon melakukan semuanya itu dengan teliti. Setitik air pun tidak jatuh ke atas lantai. Mayat anak itu diletakkan atas para. Kidon ambil air mandi mayat anaknya. 

Disiramkannya ke atas kepalanya hingga ke hujung kaki.
Selesai dengan tugas itu, Kidon melumurkan mayat anaknya dengan abu dapur dan minyak kelapa. Mayat anaknya tiu dibawa masuk ke dalam satu bilik. 

Disitu sudah tersedia sebuah salai tergantung. Mayat anaknya diletakkan atas salai tersebut dan ditutup dengan kulit kambing.
 

Kidon keluar dari kamar itu. Masuk semula dengan membawa zink buruk. Zink itu diletakkan di bawah salai. Atas zink itu ditaruh kayu arang dan habuk-habuk papan. Kidon menghidupkan api. Bila kayu arang sudah menjadi bara, barulah dia beredar.

“Mayat itu disalaikan selama empat puluh empat hari, dan Kidon terpaksa berpuasa selama tujuh hari tujuh malam, amalan itu dikenali dengan nama puasa pati Geni,” datuk membisikkan ke telinga saya. 

Di kain putih saya lihat Kidon duduk dengan meletakkan kedua belah tangannya atas lutut kiri dan kanan. 

Dia membilang biji tasbih. Menurut datuk pekerjaan itu dilakukan tanpa diketahui oleh orang lain, selepas menjalani puasa tujuh hari barulah Kidon keluar rumah membuat pekerjaan biasanya iaitu menoreh getah di kebun Haji Ahmad Alam Shah. 

Bila mayat bayi sudah cukup disalai selama empat puluh empat hari, Kidon pun mencari dan menyediakan manisan lebah, pisang emas dan pisang embun. Kidon juga menyediakan sebuah katil lengkap dengan cadar dan bantal untuk seorang bayi.

Waktu tengah malam mayat itu pun diturunkan dari tempat salai, panjangnya cuma sejengkal dan besar lebih kurang sama besar dengan anak yang berusia dua tahun, sambil memangku bayinya di tangan kiri, Kidon membasahkan tubuhnya dengan air dengan tangan kanan. Dia terus berbisik dengan tenang ke telinga anaknya begini :

“Dengarlah anakku,
Perasaan dan hatimu
Bersatu dengan aku
Dua tubuh Satu harapanku
Kaulah yang mengerjakannya
Tujuh lapis bumi,
Tujuh lapis langit,
Bersatu di bukit Kaf
Bersemadi dalam diri kita."


Selesai Kidon membisikkan pada telinga anaknya, dia menarik nafas panjang-panjang, kemudian bibir bayi yang kering itu ditiupnya. Dia melakukan ini selama tujuh pagi dan tujuh malam. 

Mayat bayi kering itu diletakkan di tempat tidur dengan bertemankan lampu yang terus menyala selama dua puluh empat jam. Kidon yang berbadan kurus itu, bertambah kurus kerana kurang tidur. Tentu dia merasa puas. 

Dalam tempoh beberapa hari lagi mayat anaknya akan dapat digunakan untuk mencari harta orang kampung. Dia terus membayangkan tentang kemewahan dan kesenangan dirinya sendiri.

Masa yang ditunggu pun tiba. Kidon masuk ke dalam bilik bayi keringnya. Dia mencium ubun-ubun bayi kering itu. 

Tiba-tiba ubun-ubun bayi kering itu mengeluarkan asap setelah Kidon menggunakan jampi serapah. Bayi kering itu menjelma menjadi kucing jantan hitam. Menjilat-jilat tapak tangan Kidon. Kidon pun menepuk-nepuk kepala kucing hitam. 

Kidon menjilat kaki kucing dengan lidahnya. Kemudian Kidon memberikan belut kering pada kucing itu. Dalam masa beberapa saat saja, belut kering itu habis dimakan oleh kucing itu.

“Kau pergi ke rumah orang kaya, kau ambil wangnya separuh dan bawa kemari,” Kidon memerintah kucing hitam.

Kucing itu menggaru-garu papan lantai akhirnya terjun ikut tingkap. Tugas Kidon setiap malam ialah menumpukan perhatian pada pelita minyak tanah di depannya. 

Jika api pelitanya bergoyang tanpa angin ertinya toyol jelmaannya dalam bahaya, bagi mengatasinya dia harus memadamkan api pelita itu dengan secepat mungkin. 

Toyol jelmaannya akan ghaib dari pandangan orang. Saya terkejut bila melihat Kidon tersungkur di kain putih.
“Ilmunya sudah aku tawarkan,” suara datuk keras.

Dia membuka mata. Air dalam mangkuk putih tertumpah dengan sendirinya. Lilin yang padam menyala sendiri begitu juga dengan pelita minyak tanah. Saya lihat dari kain hitam keluar asap berkepul-kepul. 

Tulang-tulang ikan yang berselerakkan atas lantai berkumpul dengan sendiri dan bergerak masuk ke dalam karung di samping datuk. Bila asap dari kain hitam hilang. Datuk pun mengangkat kain hitam itu.

“Kau lihat,” ujar datuk pada saya. Saya menggigit bibir. Saya lihat mayat kering terdampar atas lantai pondok. Baunya cukup busuk. Tekak saya jadi loya dan mahu muntah dibuatnya. Datuk membiarkan mayat kering itu di situ.

“Kau pulangkan pada yang berhak,” datuk bersuara lagi sambil menyiramkan darah ayam pada mayat kering. Saya perhatikan mayat kering itu bagaikan bergerak-gerak. Bila datuk melangkah mahu duduk di tempat asalnya. 

Seorang lelaki muncul di muka pintu membawa parang panjang. Badannya kurus. Di luar bunyi suara burung hantu kembali menguasai malam yang sepi. Di bawah pondok terdengar bunyi suara perempuan menangis.
“Kau datang Kidon,” lantang suara datuk.
“Jangan buat aku begini, aku mahu hidup, jawab Kidon.
“Kerjamu salah di sisi agama. Kau menyeksa mayat anakmu. Kau jadi tuan pada toyol jelmaan ini. Aku tahu dalam minggu ini kau mahu mencari pasangannya, bukan begitu Kidon.”
“Memang benar, begitulah rancangan aku, tapi aku terpaksa membatalkannya, kerana menurut firasatku ada oang yang tahu rancangan aku tu, orang itu adalah kau.”
“Sekarang, apa yang kau mahu dari aku Kidon?”
“Pulangkan toyol jelmaan itu pada aku, aku sembah kau, aku sujud pada kau, janganlah perkara ini dihebohkan.”

“Aku tidak mahu menghebahkan pada sesiapa tapi toyolmu akan aku pulangkan ke tempatnya malam ini juga.” Datuk memberi keputusan muktamad. Kidon terdiam seketika. Dia melompat turun dan menghilangkan diri dalam kegelapan malam. 

Suara langsuir ketawa kedengaran dengan jelas. Bila suara itu hilang, saya terdengar suara orang menjerit meminta tolong. 

Saya renung muka datuk. Dia kelihatan muram. Niat saya mahu bertanya padanya suara siapa yng menjerit itu jadi terbantut melihat wajahnya dalam keadaan begitu. 

Suara siapa itu? Saya bertanya dalam hati. Datuk bagaikan tahu apa yang bergolak dalam dada saya. Dia pun rapat pada saya.
Misteri Bersambung- Toyol Jadi-jadian

Monday, September 24, 2012

Menunggang Harimau Ditengah Malam

Siri Bercakap Dengan Jin Siri 11  : Menunggang Harimau Ditengah Malam


Datuk terus membaca sesuatu. Datuk mengambil seketul batu dari perut perahu. Batu itu dibalingkan pada lembaga yang terpacak dalam sungai. Bila batu itu terkena badan lelaki yang besar dan gagah,dia segera menjerit dengan sekuat hatinya. 

Kemudian dia menghilangkan diri. Air sungai yang melimpah terus surut. Suasana yang cerah bertukar menjadi gelap. Saya merenung ke langit. Bintang bertaburan. Mr.Brown tidak berkata walau sepatah pun. Dia terjelepuk dalam perut sampan.
“Dia sudah pergi,” kata datuk dan terus menggalah sampan ke hilir. Lebih kurang pukul sepuluh malam kami sampai ke Jambatan Pengkalan Bharu. Dari situ datuk menumpang lori ikan menuju ke Pekan Pantai Remis. Datuk membuat laporan ke balai polis. Sarjan Ramli menyuruh seorang pemandu kereta polis membawa datuk ke Jambatan Pengkalan Bharu kembali.
Dengan kereta polis kami menghantar Mr.Brown ke bungalownya. Kerana jam sudah pukul dua belas. Mr.Brown menyuruh saya dan datuk tidur di bungalownya. Kira-kira pukul dua pagi Mr.Brown menjerit tidak tentu arah. Dia berlari ke seluruh kawasan bungalownya sambil menjerit. 

Semua pekerja ladangnya menjadi gempar. Datuk dengan bantuan pekerja ladang getah berjaya menangkap Mr.Brown. Mr.Brown terpaksa diikat di pangkal pokok getah di depan bungalownya dengan rotan seni. 

Dan datuk terpaksa menjaganya hingga ke pagi. Seorang kerani besar di ladang tersebut. Mr.Anadurai terus menghubungi Hospital Lumut. Lebih kurang pukul sepuluh pagi sebuah ambulan dari Hospital Lumut tiba. 

Mr.Brown yang masih menjerit dan mengoyak pakaiannya dimasuk ke dalam kereta tersebut. Dari Hospital Lumut dia dibawa ke Hospital Besar Ipoh. Seminggu Mr.Brown duduk dalam jeriji besi di Hospital Besar Ipoh.
Lepas itu Mr.Brown dibawa ke rumah sakit otak di Tanjung Rambutan. Tiga bulan Mr.Brown ditempatkan di situ. Datuk tidak pernah sekali pun melawatnya. Penyakit Mr.Brown tidak juga mahu sembuh.
“Orang putih tu tak jujur,” datuk mengadu pada saya.
“Kenapa tok kata macam tu ?”
“Aku yakin dia tak jujur,” suara datuk merendah. Saya bertambah bingung kerana datuk tidak menerangkan apakah maksudnya dengan perkataan tidak jujur itu. Dan saya tidak mahu menyoal lebih lanjut tentang perkara tersebut. 

Datuk nampak resah saja sepanjang hari itu. Semua kerja yang dibuatnya terganggu. Dia asyik mahu marah saja, kalau saya membunyikan radio agak kuat.
“Aku mahu ke rumah orang putih bangsat tu, memanglah orang-orang dari England ni, satu bangsa yang tak boleh dipercayai, di depan kita bukan main baik, belakang kita jadi pengkhianat pada diri kita sendiri,” datuk merungut panjang. Dia pun mengenakan seluar hitam dan baju merah ke badannya.
“Buat apa datuk ke rumah dia ?” Dia bukan ada.”
“Kau mana tau, ini urusan aku.” Datuk memijak anak tangga turun dan mengambil basikal di bawah rumah. Dengan basikal dia pergi rumah besar Mr.Brown. 

Lebih kurang pukul lima petang datuk pun pulang. Saya melihat dia membawa satu bungkusan kecil di pelantar basikalnya. Sebaik saja datuk menongkat basikal saya terus menghampirinya.
“Jangan pegang bungkusan tu.”
“Apa bendanya tok ?”
“Tanah yang diambil Mat Sallih bangsat tu, di tempat puaka disembunyikan dalam beg.”
“Tok nak buat apa dengan tanah itu.”
“Aku nak pulangkan balik, kalau tak dipulangkan kita kena petakanya.
Mendengar cakap datuk itu, fahamlah saya kenapa dia menuduh Mr.Brown tidak jujur. Dan malam itu saya menemani datuk menghanyutkan tanah di sungai. Datuk meletakkan tanah segumpal itu di atas upih pinang, kemudian dihanyutkan. 

Masa datuk melakukan semuanya itu, dia tidak bercakap atau bersuara cuma mulutnya saja yang kelihatan kumat-kamit membaca sesuatu.
 

Seminggu selepas datuk menghanyutkan tanah puaka itu. Datuk mendapat berita dari kerani besar ladang getah yang Mr.Brown telah meninggal dunia. Mayatnya telah pun dihantar ke England. 

Tempat Mr.Brown segera diganti oleh J.Mackintos dari Singapura, tetapi yang anehnya pengurus baru itu tidak berani duduk di bungalow. Setiap kali dia tidur di bungalow tersebut. 

Dia selalu saja diganggu oleh satu lembaga yang menyerupai Mr.Brown. Kadang-kadang pengurus baru itu diangkat dari bilik tidur ke ruang dapur. Ada kalanya dicampakkan ke tengah halaman bungalow

Jadi, bungalow besar yang serba lengkap terbiar. Dalam tahun 1960 bungalow besar itu dibakar oleh seorang pekarja ladang getah yang naik darah kerana setiap malam dia terdengar bunyi orang menangis dalam bungalow tersebut. 

Sebaik saja bungalow itu hangus di makan api. Pekerja itu mati ditimpa oleh salah satu tiang dari dalam bungalow itu hingga kini masih wujud. Penuh dengan pokok-pokok hutan.
Semua peristiwa itu dijadikan datuk sebagai pengajaran. Dia selalu mengingatkan saya begini

"Lakukan semua pekerjaan atau apa saja dengan rasa tanggung jawab dan jujur. Kerana kejujuran adalah harga diri manusia yang tidak ternilai. Terlalu sedikit manusia yang tidak jujur pada diri sendiri, pada janji dan sebagainya, bila kau menjadikan kejujuran itu panduan hidup, engkau akan merasa kebahagiaannya".
Saya cuma anggukkan kepala sahaja bila mendengar dia berkata begitu. Beberapa bulan berselang, datuk menyatakan hasratnya untuk pergi ke Kampung Sadang untuk memikat burung waktu malam. 

Saya tidak tahu bagaimana datuk teringatkan hal itu. Pada fikiran saya dia sudah tentu melupakannya. Sebenarnya, saya sudah memutuskan dalam hati, bahawa saya tidak akan menurut bersama datuk pergi ke tempat tersebut.
“Minggu depan, petang Jumaat aku nak pergi,” datuk mengingatkan saya.
“Baguslah tu tok, barang-barang yang dulu semuanya ada di dalam bilik.”
“Kau bagaimana ? Tak mahu ikut sama ?” tanya datuk.
“Saya malaslah datuk.” Datuk puas hati dengan jawapan saya itu. Sementara menanti petang Jumaat, datuk hanya duduk di rumah saja. Kadang-kadang dia menjenguk bini mudanya di kampung bunian. 

Pada suatu petang. Selepas datuk menemui isteri mudanya, dia memanggil saya. Cepat-cepat saya menghampirinya. Datuk duduk terjuntai kaki di kepala tangga.
“Ada apa datuk ?”
“Dua tiga hari ni, aku selalu teringatkan adik bongsu aku yang duduk di Hulu Kuang, agaknya dia sakit.”
“Habis datuk nak pergi ke sana ?”
“Hajat tu memanglah begitu.”
“Kata datuk, datuk nak pergi ke Kampung Sadang.”
“Itu tak mustahak yang penting adik beradik.” Saya terdiam mendengar cakap datuk itu. Saya segera teringat, kali terakhir saya bertemu dengan adik bongsu datuk yang saya panggil ayah Ngah itu, dalam tahun 1947. 

Lepas itu saya tak pernah bertemu dengannya lagi, terlalu sukar untuk pergi ke Hulu Kuang. Tidak ada kenderaan yang boleh sampai ke sana. 

Lagipun kawasan itu termasuk dalam kawasan hitam, (sekarang sudah ada jalanraya dan kenderaan yang berulang-alik dari Chemor ke Hulu Kuang) kerana hal-hal itu saya dan datuk terpisah dengan keluarga.
 

Petang itu juga kami bertolak dari rumah datuk ke Ipoh dengan naiki bas. Dari Ipoh kami menyewa teksi pergi ke Chemor. Sampai ke Chemor sudah pukul enam petang. Kami tidak dibenarkan masuk ke Hulu Kuang, kerana kawasan itu terlibat dengan perintah berkurung dari jam enam petang hingga enam pagi.
Datuk terus melaporkan dirinya ke Balai Polis Chemor kerana kami membuat keputusan untuk tidur di masjid Chemor. Sesudah memberikan butir-butir mengenai diri kami kepada pihak polis, kami dibenarkan tidur di masjid tersebut. 

Sesudah menunaikan sembahyang Isyak, saya terus baring di bucu masjid. Datuk baring dekat tiang. Akhirnya saya terlena. Lebih kurang pukul dua pagi, datuk mengejutkan saya.
“Bangun kita pergi ke Hulu Kuang.”
“Macam mana nak pergi, nanti kita kena tangkap atau ditembak askar.”
“Kau ni banyak cakap pula, bangun sajalah,” suara datuk keras.
Dia menarik tangan saya hingga terduduk. Saya terus kesat mata dengan belakang tangan. Datuk menyuruh saya berdiri di muka pintu masjid. Perintahnya saya ikuti.
“Sebentar lagi dia datang,” Datuk beritahu saya.
“Apa yang datang tok ?” tanya saya ingin tahu.
“Kau jangan banyak cakap,” Datuk menyergah saya.
Mukanya kelihatan bengis. Masa itu datuk sudahpun mengenakan baju hitam, seluar hitam di badan. Kepalanya juga dililit dengan kain hitam. 

Dalam hati kecil saya timbul keraguan tentang diri datuk. Saya mengira dia ada hubungan dengan pengganas komunis. Kalau tidak masakan dia berani berjalan malam waktu zaman darurat.
“Ke tepi,” datuk menolak badan saya yang tercegat di muka pintu masjid. Saya tersungkur atas lantai. Datuk menampar tangan kanannya ke pangkal paha kanannya dengan sekuat hati. Dia melemparkan tujuh biji batu bertih ke tengah laman masjid. 

Kemudian datuk menekan ibu jari kanannya ke tapak tangan kiri tujuh kali berturut-turut. Tiba-tiba saya terdengar bunyi suara harimau mengaum. Cukup kuat. Kepala lutut saya mengeletar. 

Dengan tiba-tiba sahaja saya rebah atas lantai masjid dan tidak berdaya bangun. Seekor harimau belang yang cukup besar muncul di depan halaman masjid sambil menguit-nguitkan ekornya.
“Makanlah kau lapar,” suara datuk keras. Saya lihat harimau itu terus memakan tujuh biji bertih. Bila harimau itu selesai makan. Datuk segera merapatinya. Datuk menggosok-gosok kepala harimau itu dengan tangannya. 

Dan lidah harimau yang panjang itu menjilat pipi dan hidung datuk. Harimau itu berguling-guling atas tanah sambil kakinya menampar seluruh badan datuk. Datuk menggosok perut harimau itu. Datuk mengira kuku di jari harimau. 

Datuk bermain-main dengan harimau macam bermain dengan anak kucing. Akhirnya datuk menepuk dahi harimau tujuh kali dengan tangan kiri. Harimau pula menjilat telinga kanan datuk tujuh kali.
“Bangun, kau dah kenyang.” Mendengar cakap datuk itu , harimau besar segera bangun sambil menguap. Saya bertambah ngeri melihat giginya yang tajam dan putih. Harimau itu mengaum lagi. 

Datuk memanggil saya. Saya cuba bangun tapi saya tidak berdaya. Tempurung lutut saya terasa longgar. Datuk terus menarik tangan saya. Saya diheret hingga ke depan harimau besar.
 

“Ini cucu aku,” datuk memberitahu harimau besar. Saya lihat sepasang mata harimau itu merenung ganas ke wajah datuk. Datuk berdehem tiga kali berturut-turut. Harimau itu melunjurkan kaki depannya. Badannya direndahkan. Datuk mengangkat badan saya lalu diletakannya di pangkal tengkuk harimau berbadan besar serta berbelang tebal. 

Saya rasa nyawa saya sudah melayang dari badan. Badan saya jadi lembik. Saya tidak boleh duduk tegak. Dada dan muka saya terhempap atas batang leher harimau.
Bulu harimau yang kasar dan keras itu menyucuk batang hidung dan pipi saya. Bila harimau itu menggerak-gerak badannya saya juga ikut bergerak.
“Peluk tengkuknya kuat-kuat,” datuk mengigatkan saya.
Antara sedar dengan tidak saya lihat datuk terus naik atas belakang harimau. Harimau besar itu segera menegakkan badannya. Datuk terus menepuk-nepuk punggung harimau, macam gembala lembu menepuk punggung lembu.
“Ke Hulu Kuang,” saya terdengar suara datuk. Serentak dengan itu harimau pun melangkah. Saya rasa harimau itu berjalan bagaikan tidak jejak ke bumi. Melayang-layang di udara membelah pekan Chemor melintasi jambatan keretapi. 

Terus menghala ke kampung Cik Zainal serta melintasi kawasan Kampung Baru Tanah Hitam. Saya nampak tentera berjaga dengan senjata di tangan. Semuanya tidak memandang ke arah kami. Kerana terlalu laju harimau itu bergerak. 

Badan saya terasa sejuk. Belum selesai saya menghitung dari satu sampai ke sepuluh. Harimau itu sudahpun tiba di kaki tangga rumah adik bongsu datuk. Hari masih gelap lagi. Kokok ayam masih kedengaran. Datuk menurunkan saya dari belakang harimau.
Sebelum harimau meninggalkan kami, datuk memberi harimau itu makan tujuh biji bertih. Saya tidak tahu dari mana bertih itu diperolehi oleh datuk. Selesai saja harimau itu memakan bertih. 

Lagi sekali datuk menepuk-nepuk dahi harimau. Datuk membisikkan sesuatu ke telinga harimau. Dan harimau itu bagaikan mengerti dengan apa yang diucapkan oleh datuk kerana telinganya bergerak-gerak.
“Balik ke rumah kita jaga kampung serta tanah ladang kita,” suara datuk meninggi. Harimau itu menguap panjang. Dengan sekelip mata saja harimau besar hilang dari pandangan saya. 

Datuk tidak segera mengejutkan adik bongsunya. Menurut datuk pantang besar kalau kita menunggang harimau mengejutkan tuan rumah yang kita pergi sebelum tuan rumah itu terjaga. 

Adik bongsu datuk terkejut , bila dia membuka pintu rumah pagi itu didapatinya kami duduk di kaki tangga. Dia mengucap panjang dan merasa takjub bagaimana kami boleh sampai pagi ke tempatnya sedangkan perintah berkurung berakhir pada jam enam pagi. 

Dia terus menyoal datuk bagaimana kami boleh sampai terlalu awal. Pertanyaan atau soalan itu tidak dijawab oleh datuk. Datuk mengubah tajuk perbualan pada perkara lain.
Sambil minum kopi pagi, adik bongsu datuk menceritakan keadaan kampung Hulu Kuang sambil bertanya khabar hal nenek serta anak cucu datuk. Perbualan datuk dengan adik bongsunya sungguh rancak pagi itu. 

Saya tidak banyak campur dalam perbualan mereka. Saya lebih senang berdiri di muka tingkap melihat daun-daun pokok yang menghijau serta puncak gunung yang diselimuti kabus nipis.
“Kau sakit, aku nampak kau kurus sangat ni,” saya terdengar suara datuk. Saya segera menoleh ke belakang. Saya lihat datuk sedang memerhati tubuh adik bongsunya yang cengkung dan kurus.
“Saya baru baik dari demam, dan tu kena berjaga malam pula,” jawab adik bongsu datuk.
“Hai, musim darurat pun kena berjaga malam ?”
“Berjaga dalam rumah ?” sahut isteri adik bongsu datu dari dapur. Saya tertarik hati dengan perbualan itu. Memaksa saya duduk di sebelah datuk. Datuk saya lihat mengerutkan keningnya.
 

“Kenapa pula tu. Ada pencuri ke ?” Pertanyaan itu tidak dijawab oleh adik bongsu datuk dan isterinya. Mereka kelihatan resah dan tidak menentu.
“Apa halnya cakap. Kalau boleh aku tolong, aku berusaha menolong kalau tak boleh kita cari orang lain untuk menolongnya,” datuk memberi sebuah harapan. Isteri adik bongsu datuk tersenyum. Adik bongsu datuk termenung panjang.
“Susah orang nak menolongnya,” begitu hampa nada suara adik bongsu datuk.
“Susah macam mana ?” tanya datuk.
“Kerja iblis.”
“Kita lawan cara iblis.”
“Begini, di kampung ni ada toyol jadi-jadian , sekejap menjelma jadi kucing, sekejap jadi tikus.” Adik bongsu datuk menerangkan sambil merenung ke kiri kanan. Datuk terdiam. Lama juga datuk termenung. 

Datuk bangun berdiri di muka pintu. Tangan kanannya memaut jenang pintu. Datuk duduk kembali. “biasanya toyol jadi-jadian ni, ada orang yang membelanya. Dia mesti sepasang ada jantan betinanya. Rumah kau ada dia masuk ?”
“Ada, dia menyerupai kucing hitam, bila terserempak dengan kami dia menghilangkan diri.” Dengan penerangan adik bongsunya itu datuk dapat menduga bahawa toyol jadi-jadian itu masih belum mempunyai pasangan lagi.
Dan orang yang membela akan berusaha mencari pasangannya. Datuk memberitahu adik bongsunya, perkara itu boleh diatasi atau dilenyapkan terus dengan syarat dia harus tinggal di Hulu Kuang agak lama sedikit. 

Untuk mencari tuan punya toyol jadi-jadian itu memakan masa. Memerlukan beberapa syarat yang tertentu.
“Kerjanya sulit, tapi harapan masih ada kerana tuan punya masih mencari pasangannya lagi,” jelas datuk dengan tenang.
“Macam mana caranya ?” soal isteri adik bongsu datuk. Mendengarkan pertanyaan itu datuk tersenyum panjang sambil memicit pangkal dagu.
“Kita tunggu kalau ada perempuan mati beranak sulung, baru senang menangkap tuannya. ” Cakap datuk itu membuat adik bongsu datuk dan isterinya berpandangan.
Dalam kepala isteri adik bongsu datuk mula terbayang tentang perempuan-perempuan di Kampung Hulu Kuang yang mengandung anak sulung. Ada lima orang semuanya. 

Atas persetujuan orang-orang Kampung Hulu Kuang datuk diminta duduk di kampung tersebut selama dua bulan untuk menghalau toyol jadi-jadian yang menganggu kampung mereka. 

Nasib datuk dan saya agak baik, baru tiga minggu di Hulu Kuang, terdengar salah seorang daripada penduduk kampung itu meninggal dunia ketika melahirkan anak sulung. 

Anak dan ibu mati serentak. Datuk pergi ke rumah keluarga yang malang itu, datuk turut sama menghantar jenazah ibu dan anak itu ke tanah kubur.
 

Tetapi, sebaik sahaja datuk pulang dari tanah kubur. Datuk tidak dapat tidur sepanjang malam.Dia didatangi dengan berbagai-bagai mimpi yang ngeri dan menakutkan. Datuk membuka kertas firasat yang dibawanya. 

Waktu dia membaca firasat itulah datuk terdengar suara perempuan memujuk anak yang menangis di bawah rumah. Datuk membuka pintu, datuk melihat satu cahaya berekor panjang naik ke udara dari tanah perkuburan.
Misteri Bersambung- Menunggang Harimau Ditengah Malam

Thursday, September 20, 2012

Mencari Harta Karun

Bercakap Dengan Jin Siri 10 : Mencari Harta Karun
 
 
Mahu atau tidak mahu, saya mesti patuh pada perintahnya. Saya pun memilih beberapa pasang pakaian yang saya fikirkan sesuai untuk dipakai waktu malam.
“Berapa lama kita di sana tok,” tanya saya sambil memasukkan pakaian ke dalam beg. Datuk yang sedang menghisap rokok daun berhenti dari menulis rajah di atas kertas putih. Memang itu perangai datuk. 
 
Kalau mahu berjalan ke mana-mana. Dia buat rajah dahulu. Dia mahu memastikan, apakah perjalanannya itu membawa tuah atau sebaliknya.
“Boleh jadi sehari dua, boleh jadi seminggu dua, bergantung pada keadaan.”
“Keadaan macam mana tok ?”
“Kalau banyak burung yang kita dapat lamalah kita di sana.”
“Bila kita nak bertolak.”
“Aku fikir pagi esok saya.”
Datuk bangun. Dia turun ke tanah. Saya kira datuk bersiap-siap untuk pergi ke kampung bunian menemui isteri mudanya. Dugaan saya tidak tepat. Datuk cuma pergi ke belakang rumah melihat ayam dalam kandang. 
 
Saya barang yang mahu dibawa sudah saya kemaskan. Saya melangkah ke anjung rumah. Sebuah kereta tua masuk ke dalam kawasan rumah datuk. 
 
Bila pintu kereta dibuka, keluarlah seorang lelaki Inggeris. Kepalanya separuh botak. Saya kenal orang Inggeris itu. Namanya Mr. Brown pengurus ladang getah, Sungai Bruas.
Mr. Brown terus mendapatkan datuk di belakang rumah. Pengurus ladang getah itu, memang selalu menemui datuk, kalau dia mengalami silap urat. Kalau dia diserang penyakit dia lebih dulu meminta ubat cara kampung dari datuk. 
 
Kalau tidak baik baru dia menemui doktor. Pernah dia menawarkan kerja di ladang getah pada saya. Dia suruh saya jadi kerani. 
 
Permintaan itu saya tolak. Kedatangannya pada hari itu, tidak saya hiraukan. Saya agak tentu dia silap urat dan minta datuk mengurutnya. Kalau tidak masakan dia datang, fikir saya. 
 
Lama juga Mr.Brown bercakap dengan datuk di belakang rumah. Mr. Brown cukup fasih bercakap Melayu. Dia boleh membaca dan menulis jawi. Pernah dia bercerita pada saya yang dia lama duduk di Palestine dan Iraq masa perang dunia yang pertama dulu.
Saya terus baring di anjung rumah. Mr.Brown naik ke atas anjung bersama datuk. Saya bangun dan duduk bersila macam mereka. Mr.Brown membuka peta.
“Di sini, harta itu ada di sini,’ ujarnya dengan tenang sambil menandakan kawasan dalam peta dengan pensil merah. Datuk termenung panjang.
“Kawasan itu jauh, kalau silap masuk kita sesat dalam hutan,” tingkah datuk sambil memeluk lutut. Mr.Brown tersenyum. Dia melagakan gigi atas dengan gigi bawahnya beberapa kali.
“Minggu dulu mandur saya pergi menembak ayam hutan, mereka jumpa kubur besar dalam hutan, macam kubur raja. Ada emas atas kubur, tapi mandur saya tidak berani ambil,” jelas Mr.Brown lagi,
“Saya dah minta kebenaran dari tuan OCPD untuk masuk kawasan itu dan membawa barang untuk meletupkan gua.”
Datuk terdiam. Saya mula resah. Saya tahu kawasan yang disebutkan oleh Mr.Brown itu, ialah kawasan kerajaan Melayu Bruas lama yang sekarang menjadi hutan belukar. 
 
Satu ketika dalu, pernah orang-orang kampung yang sesat dalam hutan kerana mencari rotan terjumpa kawasan istana lama, lengkap dengan taman bunga, rumah batu dan kawasan permakaman di raja. 
 
Bila orang itu pergi untuk kedua kalinya mencari kawasan tersebut. Kawasan itu tidak dijumpai lagi. 
 
Malah orang pergi itu, diserang demam panas berbulan-bulan lamanya. Menurut cerita arwah Haji Hamid, kawasan itu cukup keras, Mahkota, emas berlian dan pedang kebesaran raja-raja dahulu tertanam di situ. 
 
Orang-orang yang jujur dan ikhlas saja yang selalu terjumpa kawasan tersebut. Arwah Haji Hamid dua kali terjumpa kawasan tersebut. Anehnya, kalau sesiapa yang berniat mahu mencarinya, sampai kiamat tidak akan terjumpa.
“Saya sudah lama menyiasatnya, sejak saya datang.” Mr.Brown bersuara sambil melihat peta. Datuk terus tersenyum.
“Di kawasan ini, dulu ada kota kerajaan Gangga Negara,” Mr.Brown tanda peta dengan pensil merah.
“Dari sini, kita boleh pergi ke Padang Serai, dari situ kita pergi ke Segari. Tidak jauh dari situ ada kawasan kerajaan Manjong,” Mr.Brown berhenti menandakan peta dengan pensil merah. 
 
Saya gigit bibir. Datuk kelihatan tenang. Wajah Mr.Brown nampak cemas. Mata merenung ke peta kembali. Kemudian Mr.Brown bercerita tentang kerajaan Gangga Negara. Dia tahu semua kawasan dan wilayah kekuasaan kerajaan Gangga Negara.
“Dari mana awak tahu ?” Soal datuk.
“Di London, di sana semua fasal sejarah Malaya ada di muzium, saya datang ni bukan mahu jadi manager, tapi saya mahu siasat negeri awak.”
“Kalau dapat awak mahu buat apa ?”
“Barang-barangnya saya bawa ke London, kemudian saya tulis buku sejarah negeri awak,” ujar Mr.Brown dengan bangga. 
 
Kerana terlalu pandai Mr.Brown memujuk. Datuk mahu membantunya mencari kesan sejarah lama itu. Mr.Brown berjanji dengan datuk kalau mereka berjumpa dengan barang-barang purba. 
 
Dia tidak akan mengambilnya. Dia sekadar mahu melihat dan menyiasat serta mengambil gambar. Mr.Brown juga akan membawa barang makanan yang secukupnya selama penyiasatan itu diadakan. 
 
Selain daripada itu Mr.Brown akan membawa tiga orang pekerjanya untuk turut sama dalam rombongan itu. Dalam tilikan datuk, rombongannya akan bertemu dengan kawasan yang dihajati oleh Mr.Brown itu.
Akhirnya, rombongan itu berangkat ke tempat yang dituju. Saya cukup gembira, kerana saya tidak dikecualikan dari rombongan tersebut. Rombongan kami bertolak dari kawasan rumah datuk, kira-kira pukul enam pagi dengan sebuah jeep menuju ke kawasan pecah batu di Seputih. 
 
Dari situ berjalan kaki menuju ke tepi Sungai Bruas. Kami menaiki sebuah sampan kecil yang berbumbung. Sebelum itu, Mr.Brown dan datuk sudahpun pergi ke Kampung Kota melihat tulisan di batu nisan lama yang terdapat di situ. 
 
Menurut Mr.Brown, mencari kawasan lama itu lebih baik melalui sungai daripada mengikuti jalan darat. Ada dua sebab, kenapa Mr.Brown memilih ikut sungai, pertama mudah dan kedua orang-orang dahulu selalu membuka kawasan di tepi sungai.
Lama juga bersampan di Sungai Bruas. Akhirnya Mr.Brown menyuruh orang yang mendayung sampan rapat ke tepi. Dari situ mendaki satu kawasan bukit kecil. Kami berkhemah di situ. 
 
Dua hari kami di situ, masuk hari yang ketiga. Salah seorang daripada rombongan kami jatuh sakit. Dia menjerit tidak tentu arah. Bagaikan kemasukan hantu. Puas datuk mengubatnya. 
 
Sakitnya tidak juga mahu hilang. Matanya merah. Lidahnya sentiasa keluar. Mr.Brown mengambil keputusan untuk menghantar pulang dua orang pekerjanya itu. Sepeninggalan Mr.Brown, datuk dan saya hanya duduk di dalam khemah saja.
Malam itu, saya tidak dapat tidur dengan lena. Macam-macam suara yang saya dengan. Datuk duduk di kanan saya, sekali-sekala, saya dengar datuk bercakap. Dengan siapa dia bercakap, saya tidak pasti. Tetapi suara orang yang dilawannya bercakap jelas kedengaran. 
 
Orang itu menyuruh datuk berpindah ke tempat lain, kerana kawasan yang diduduki sekarang kawasan larangan. Datuk berjanji dengan orang itu akan pindah pada pagi esok. 
 
Lepas itu, saya lihat datuk tidur dengan lena hingga ke pagi. Lebih kurang pukul sepuluh pagi Mr.Brown pun tiba. Dia membuka peta lagi. Mr.Brown sukat peta dengan kayu pembaris.
“Kita masuk ke dalam lagi,” katanya. Tanpa membantah datuk dan saya mengikut perintahnya. 
 
Satu kawasan lapang kami cari. Berkhemahlah kami di situ. Sementara menanti matahari terbenam, Mr.Brown mengutip dan meneliti tanah dan batu yang ditemuinya di kawasan tersebut.
 
“Kita berada di kawasannya,” kata Mr.Brown pada datuk sambil membaca buku tebal yang dibawanya. Setiap kali dia dapat tanah atau batu dia buka buku. 
 
Matahari pun terbenam di kaki langit. Datuk ambil air sembahyang dari kolam yang terdapat di situ. Airnya cukup jernih. Lepas sembahyang datuk dan Mr.Brown terus masak. Lepas makan Mr.Brown baca buku. 
 
Lampu gasolin yang terpasang dalam khemah cukup terang. Dalam ingatan saya, sudah tiga malam kami berkhemah dalam hutan tebal. Lebih kurang pukul sembilan, saya sudah tidak berdaya membuka kelopak mata. 
 
Saya mengantuk betul. Saya terus tidur dan bermimpi menemui seorang perempuan yang cantiknya tidak dapat saya lukiskan. Dia bagaikan gadis bangsawan duduk berjuntai kaki di balairong seri sambil membawa lagu-lagu Hindu dengan irama yang merdu dan halus. 
 
Dia bangkit lalu mendekati saya. Dia mengajak saya berjalan mengelilingi istana. Kulitnya cukup halus. Bau badannya semerbak wangi. Senyum sentiasa terukir di bibir nipisnya.
“Siapa namamu,” tanya saya. Dia tidak menjawab. Jejari tangannya yang lentik terus mengheret tangan saya menuju ke pokok besar. Saya patuh pada arahannya, berjalan di rerumput yang menghijau di depan istana.
“Ke mana ?” soal saya. Dia tidak menjawab, tapi jari telunjuknya menuju ke arah pohon beringin rendang.
“Siapa namamu ?” ulang saya lagi. Dia berhenti berjalan.
“Dayang pada Tuan Puteri Zarid Gangga,” dia menjelaskan pada saya. Fahamlah saya sekarang. Rupanya dia orang kanan dalam istana kerajaan Gangga Negara. 
 
Sebaik saja sampai di bawah pohon beringin. Dia menghilangkan diri. Saya terkejut dan terbangun. Saya lihat Mr.Brown masih lagi membaca buku dan meneliti ketulan batu dan tanah yang dikutipnya. 
 
Datuk masih lagi mengadap asap kemenyan yang dibakar. Saya ceritakan pada mereka apa yang saya alami masa tidur tadi.
Pagi esoknya, kami mencapai kata sepakat untuk menggali tanah di bawah pohon beringin. Lima jam kami menggali tanah. Akhirnya kami menemukan sebuah peti besi yang dibuat dari logam kekuningan. 
 
Mr.Brown segera membuka peti itu. Datuk terkejut, kerana didalam peti itu terisi tengkorak manusia. Kami berhenti menggali, kerana hari sudah beransur gelap. Datuk membungkus tengkorak itu dengan kain kuning. 
 
Malam pun tiba. Datuk mengusap tengkorak itu dengan kemenyan. Dua tiga kali dia meletakkan tengkorak itu atas peti dan merimbasnya dengan kain hitam.
“Tengkorak ni tak ada apa-apa,” kata datuk pada Mr.Brown. Mr.Brown anggukkan kepala.  
 
Tengkorak itu diletakkannya di dalam peti. Lepas itu kami masuk ke dalam kelambu masing-masing. Menjelang tengah malam, saya terjaga. Bagaikan ada tangan yang menggoyangkan bahu kanan saya. 
 
Yang pertama kali saya dengar, suara wanita menyanyi sayup-sayup di selang-seli dengan bunyi gendang. Nyanyian dan bunyi gendang makin lama makin dekat. Kemudian menghilang. 
 
Cuma yang kedengaran bunyi desiran angin yang kuat. Di tingkah dengan bunyi raungan harimau, suara burung tukang dan jampok bersahut-sahutan. Terfikir juga oleh saya untuk membangunkan Mr.Brown dan datuk. Bila saya kaji dalam-dalam, mereka tidak perlu dibangunkan.
Saya jatuhkan kepala atas bantal. Desir angin dan nyanyian burung hutan terhenti. Saya terdengar suara orang memanggil saya di luar khemah. Saya amati suara itu. 
 
Datangnya dari arah pohon beringin. Suara itu cukup jelas. Saya membuat keputusan untuk keluar dari perut khemah dan menuju ke pohon beringin seorang diri. Di luar khemah, saya dongak ke atas. 
 
Malam memang tidak berbintang, tetepi awan kelihatan cukup bersih. Angin malam bertiup cukup keras. Pepohon di kiri kanan khemah bagaikan digoyang orang. 
 
Tiba-tiba saja hati saya membuat keputusan tidak mahu pergi ke bawah pokok beringin. Saya masuk ke dalam belukar di kanan khemah, saya mahu mengintip dari situ. Saya renung ke arah datangnya suara wanita itu. 
 
Badan saya mengeletar. Sepasang mata saya melihat tubuh seorang wanita berdiri tanpa kepala di situ. Tanpa saya sedari,dahi saya berpeluh, kawasan tempat wanita itu berdiri cukup terang.
Saya membuat keputusan untuk masuk ke dalam khemah. Bila saya mahu melangkah, kepala lutut saya terasa cukup lemah. Saya jatuh terduduk atas tanah. Mata saya masih lagi tertumpu ke arah pohon beringin. 
 
Saya saksikan sebuah kepala bergolek-golek atas tanah, kemudian memanjat tubuh wanita itu, lalu bercantum dengan leher. Dalam sekejap mata wanita itu hilang. 
 
Kemudian berdiri betul di depan saya, Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Bumi serasa tidak ada. Peluh terus menguasai seluruh badan saya. Suara sudah tidak mempu keluar dari kerongkong. 
 
Dalam saat yang payah itu, segera wanita itu hilang. Berdiri di bawah pohon beringin hilir mudik di situ. Memang sahlah, wanita itulah yang saya temui dalam mimpi saya yang lalu.
Kemudian wanita itu pergi ke khemah yang didiami oleh Mr.Brown dan datuk. Lebih kurang lima enam langkah mahu sampai ke gigi khemah, dia berpatah balik. Menuju ke kolam tempat datuk mengambil air sembahyang. Bila wanita itu berdiri di depan kolam, dia terus menjerit. 
 
Saya lihat kepalanya jatuh ke tanah, berguling-guling menuju ke pangkal pohon beringin. Tubuh wanita itu segera ghaib. Serentak dengan itu, saya terdengar suara orang bergaduh, saya terdengar suara jeritan gajah. 
 
Saya terdengar bunyi pedang berlaga. Semuanya tidak kelihatan dan berlaku di kawasan dekat khemah kami. Bila semuanya tidak kedengaran lagi, saya lihat ada tubuh lelaki hitam memeluk seorang gadis genit, tanpa baju dan kain. 
 
Lelaki hitam membalutkan tubuh wanita itu dengan jubah yang dipakainya. Wanita dibawanya naik ke atas belakang gajah. Mereka bergerak ke selatan bersama dengan bunyi gendang perang yang hebat.
Sementara itu fajar pagi pun tiba. Saya masih tertiarap atas tanah. Seluruh badan saya terasa lemah. Datuk yang bangun untuk sembahyang subuh bagaikan tahu yang saya tidak ada dalam khemah. Selesai sembahyang subuh dia pun mencari saya.
“Kenapa begini,” tanya datuk terkejut melihat saya terbaring atas tanah. Saya mahu menceritakan semua yang saya lihat, tapi suara saya tidak keluar. 
 
Datuk kembali ke khemah mengambil kain hitam. Barulah saya boleh bergerak dan bersuara. Datuk memimpin saya ke khemah. Dia merungut dan marahkan saya, kerana saya keluar tidak memberitahunya. 
 
Semua yang saya lihat saya ceritakan pada Mr.Brown dan datuk dengan jelas dan terang. Ketika Mr.Brown membuka peti besi kecil tempat menyimpan tengkorak, dia terkejut. Tengkorak yang berbungkus kain kuning, hilang entah ke mana.
Datuk mencadangkan pada Mr.Brown supaya menggali tanah di sekitar kawasan kolam. Mr.Brown tidak setuju , dia lebih suka kalau air kolam itu di keringkan, kemudian perut kolam itu digali. 
 
Datuk terima cadangan itu, kerana mengerinkan air kolam itu bukanlah satu perkara yang sukar. Mr.Brown sendiri ada membawa jentera untuk mengeringkan air. Lebih kurang pukul lapan pagi, kerja untuk mengeringkan kolam pun bermula. 
 
Satu jam kemudian air dalam kolam pun kering. Saya terkejut, rupanya kolam itu dibuat dari batu gunung yang tersusun rapi. Batu bahagian permukaannya sudah banyak yang pecah serta ditimbus oleh tanah.
Datuk menduga, kolam itu tempat mandi dan tempat bermain keluarga bangsawan dalam zaman pemerintah Gangga Negara. Bila air kolam sudah kering betul. Datuk, Mr.Brown dan saya pun memecahkan lantai kolam. Tanah di situpun kami gali. 
 
Barang-barang yang kami temukan di dalam kolam itu ialah rangka manusia dan peti besi yang berisikan tengkorak yang hilang dari simpanan Mr.Brown. Dengan perintah datuk tulang-tulang serta tengkorak itu ditanam semula dalam satu lubang dekat pokok meranti. 
 
Pada sebelah malamnya, datuk membuat keputusan yang nekad. Dia mengajak saya dan Mr.Brown tidur dekat kolam yang sudah dikeringkan itu.
“Ini merbahaya,” bantah Mr.Brown.
“Kalau awak mahu mencari apa yang awak hajat, awak kena ikut saya.” Suara datuk meninggi. Matanya mula merah.
“Ok saya ikut.”
“Begitulah.” Datuk pun ketawa berdekah-dekah.
Sepanjang malam di tepi kolam itu, datuk terus menerus membakar kemenyan. Dia memakai baju hitam, seluar hitam. Sekali pandang, datuk bagaikan hulubalang kerajaan Melayu Melaka. 
 
Datuk terus membaca mentera di depan asap kemenyan. Sekali-sekala dia membuka silat. Tiba-tiba datuk diam. Matanya pejam. Badannya tidak bergerak. Asap kemenyan berkepul-kepul naik ke udara. Datuk rebah di situ. Saya segera mahu menghampirinya.
“Jangan, dia menerima pertunjuk dari orang lain,” kata Mr.Brown sambil memegang bahu kanan saya. Malam terasa cukup dingin dengan tiupan angin yang sungguh kencang. Suara burung hantu dan salakkan anjing serigala kedengaran sayup-sayup. 
 
Datuk melompat dan terus duduk bersila memandang muka Mr.Brown sambil berkata: Seorang pengasuh puteri datang pada aku, dia mengucapkan terima kasih, kerana kita telah mempersatukan tubuh dengan kepalanya serta menanam jasadnya dengan penuh hormat. Ketika aku tanya kenapa dia mengalami nasib buruk itu. 
 
Dia telah menerangkan pada aku, kepalanya telah dipancung oleh angkatan Raja Suran, badannya dicampakkan ke dalam kolam, kepalanya ditanam di bawah pokok beringin. 
 
Dia ingin membalas jasa kita semua. Dia telah memberitahu pada aku di mana barang-barang Raja Gangga Negara, seperti pedang kebesaran, mahkota dan emas berlian ditanam.”
“Di mana tempatnya tok, ” tanya saya tidak sabar.
“Sabar, esok saja aku ceritakan.” Suara datuk tenang. Lepas itu dia mengajak kami kembali ke khemah semula.
Pagi esoknya, datuk menyuruh saya dan Mr.Brown meruntuhkan khemah. Kemudian turun ke dalam sampan. Dari situ kami menyusul tebing sungai Bruas yang penuh dengan buaya liar ke sampai ke Tanjung Ara - dekat Pangkalan Bharu. Dari situ kami mendarat di satu kawasan berbukit. 
 
Hutannya cukup tebal. Kami berjalan ke arah matahari jatuh hingga bertemu dengan kawasan tanah yang agak tinggi yang gondol itu penuh dengan batu-batu pejal. Datuk menyuruh kami mendirikan khemah di situ.
“Puteri itu telah membawa aku ke mari, ” kata datuk, “menurutnya Raja Gangga Negara, Shah Johan telah menanam hartanya di sini. Jauh dari pusat kerajaannya, dia melakukan ini, sebelum kepalanya dipancung oleh Raja Suran.
 
”Datuk pun berhenti bercerita. Mr.Brown ketawa berdekah-dekah. Barang yang dicari dan dihajati sudah ada didepan matanya.
Kawasan itu segera kami bersihkan. Saya terjumpa patung ular yang dibuat dari tembaga dipuncak tanah tinggi itu. Patung ditegah oleh datuk dari dijamah oleh sesiapapun. Kata datuk di bawah perut patung itulah tempat harta karun Raja Gangga Negara.
Mr.Brown pun menyiapkan alat peletup. Menurutnya pendapatnya harta-harta itu tertanam lebih kurang sepuluh meter ke dalam bumi. 
 
Bila dinamit yang dipasang itu meletup, boleh menolong melongsurkan tanah sedalam enam atau lapan meter, kemudian tanah itu akan digali. Datuk setuju dengan cadangan itu, masa untuk meletupkan kawasan itu ditetapkan pada tepat pukul empat petang.
Tepat pukul empat petang, terdengarlah satu letupan bergema dalam hutan tebal, batu-batu berterbangan, pokok-pokok habis tercabut. Tanah tinggi disitu kelihatan rata. 
 
Mr.Brown cukup gembira, dia tidak putus-putus ketawa. Bila ketawanya berhenti, Mr.Brown terkejut besar, dari kawasan tanah yang diletupkan itu keluar beratus-ratus ekor ular sebesar peha menyerang kami. 
 
Saya, datuk dan Mr.Brown lari lintang pukang menuju ke perahu untuk menyelamatkan diri, semua barang-barang kami tinggalkan. Sampai di perahu saya lihat dahi Mr.Brown berdarah. Seluarnya habis koyak.
Kami menyusul tepi sungai Bruas menuju ke arah Pekan Pangkalan Bharu, Ketika itu senja sudahpun tiba, hari sudah mula gelap. Perahu kami tiba-tiba tidak boleh bergerak. 
 
Air sungai melimpah dengan tiba-tiba. Tebingnya yang tinggi ditenggelami air. Datuk nampak cemas. Kemudian dia senyum dan berkata : “Kalau kami salah ampunkanlah.”
Sehabis sahaja datuk berkata, dari perut sungai timbul seorang lelaki yang bertubuh besar dengan pakaian kebesaran seorang raja. Anehnya semua pakaiannya itu tidak basah, meskipun ia baru timbul dari dasar sungai.
 
Wajahnya kelihatan bengis. Malam yang gelap itu bertukar menjadi cerah bagaikan siang hari. Datuk terus berhadapan dengan orang itu.
“Awak mesti tahu, tidak seorangpun yang boleh mengambil harta kerajaan Gangga Negara. Itu milik kami. 
 
Awak sebenarnya manusia bodoh, kalau ular yang keluar dari lubang yang awak letupkan itu awak tangkap, ular-ular itu akan bertukar menjadi harta karun dan emas. Awak mesti menerima hukuman kerana mengkhianati kami,” lelaki bertubuh besar bersuara.
Datuk masih berhadapan dengannya, cukup tenang menghadapi suasana yang gawat itu. Datuk mengenakan tanjak di kepala dan mencabut keris dari pinggang.
 
Misteri Bersambung...
Misteri Bersambung- Mencari Harta Karun