Pakatan Rakyat Laksana Menang Sorak Kampung Tergadai
|
Tumpuan luar
biasa Pakatan Rakyat di Johor, Sarawak dan juga Sabah
dalam usaha mereka untuk memecahkan kubu kebal Barisan Nasional dilihat akan
memakan diri. Ramai sedia maklum bahawa ketiga-tiga negeri ini telah lama
menjadi “simpanan tetap” Barisan Nasional dalam setiap Pilihan Raya Umum.
Langkah meletakkan nama besar seperti Lim Kit Siang untuk bertanding di Gelang
Patah Johor jelas menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat berniat untuk memecahkan
dominasi Barisan Nasional di sana.
Namun begitu
ramai penganalisis politik percaya langkah ini akan memakan diri Pakatan
Rakyat. Ini adalah kerana di dalam keghairahan mereka untuk menyerang
negeri-negeri di bawah takluk Barisan Nasional, mereka seolah alpa dalam mempertahankan
negeri-negeri mereka. Kedah, Pulau Pinang dan juga Kelantan dilihat sedang
menghadapi serangan padu oleh pasukan gempur Barisan Nasional.
Di Kedah,
pembongkaran demi pembongkaran telah dibuat oleh Barisan Nasional ke atas
kepincangan pengurusan Kerajaan Negeri PAS. PAS Kedah pula seolah-olah telah
dibiarkan oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat untuk mempertahankan diri
mereka sendiri. Pakatan Rakyat seperti sudah menerima hakikat bahawa Kedah
tidak dapat dipertahankan lagi.
Gelombang Merah yang
melanda Kelantan bukan lagi satu omong kosong lagi. Gerakan tersusun yang
dikepalai oleh Tok Pa telah lama menyusun langkah dan dilihat mampu memberikan
tentangan hebat terhadap kerajaan negeri pimpinan Tuan Guru Nik Aziz. PAS
Kelantan telah sekian lama diberi peluang oleh rakyat untuk membawa kemajuan
namun sikap “tidak apa” Tuan Guru Nik Aziz mengecewakan. Kemelut akhlak yang
melanda beberapa tokoh PAS dijangka akan merencatkan usaha PAS untuk
mempertahankan Kelantan.
Tuan Guru Nik
Aziz pula sibuk dibawa sebagai pelaris ceramah di seluruh negara. Jalinan mesra
yang dimeterai di dalam Pakatan Rakyat bersama komponen lain juga dilihat kian
longlai dan mampu merencatkan jentera Pilihan Raya mereka. Oleh itu, sekiranya
Barisan Nasional Kelantan mampu bergerak sebagai satu unit dan bekerja keras,
tidak mustahil Kelantan akan kembali ke pangkuan Barisan Nasional.
Di Pulau Pinang
pula, tidak lagi kedengaran cakap-cakap kedai kopi yang menyatakan bahawa
mustahil buat Barisan Nasional untuk mendapatkan semula Pulau Pinang. Kerja
keras Barisan Nasional Pulau Pinang selama ini mendedahkan setiap kepincangan
di bawah pemerintahan Ketua Menteri Lim Guan Eng semakin membuka mata rakyat
Pulau Pinang. Kerajaan negeri Pulau Pinang pula secara sistematik cuba untuk menjadikan
Pulau Pinang sebagai lokasi eksklusif buat rakyat yang berada.
Apa tidaknya,
harga hartanah di Pulau Pinang semakin melonjak dan projek-projek yang
diperkenalkan juga hanya mensasarkan golongan yang berada. Apabila Datuk Seri
Najib Razak perkenalkan perumahan mampu milik PR1MA, rakyat Pulau Pinang
menyambutnya dengan tangan terbuka. Tidak mustahil Rakyat Pulau Pinang mampu
diyakinkan dengan dasar dan polisi kerajaan yang jelas mengutamakan kepentingan
rakyat.
Kesimpulannya,
kecenderungan Pakatan Rakyat mensasarkan negeri-negeri kubu kuat Barisan
Nasional dilihat mampu menjadi punca kejatuhan mereka. Tumpuan seharusnya
diberikan untuk mempertahankan negeri-negeri yang telah dimenangi mereka pada
Pilihan Raya yang lepas. Di dalam arena sukan, ada satu mantra yang selalu
dimainkan iaitu “untuk memenangi sesuatu adalah senang, namun hendak
mempertahankannya pula adalah sangat susah sekali”.
|